SARATOK: Terdapat persamaan jelas antara prinsip pembangunan menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030 dengan nilai kepimpinan Rasulullah SAW, khususnya dalam memastikan pembangunan yang membawa manfaat kepada manusia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, Rasulullah mengajar umatnya mengenai ukhuwah, keadilan dan kepentingan menjaga kebajikan manusia, selari dengan penekanan PCDS terhadap pembangunan yang inklusif dan keterangkuman sosial.
Menurutnya, Rasulullah turut menggalakkan umatnya menuntut ilmu, manakala PCDS memberi keutamaan kepada pendidikan, inovasi serta pembangunan modal insan sebagai asas kemajuan negeri.
“Rasulullah juga mengajar umatnya supaya menjaga alam sekitar dan tidak melakukan kerosakan, manakala PCDS memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar serta pembangunan ekonomi hijau.
“Baginda turut menggalakkan umatnya bekerja, berusaha dan berdikari, sementara PCDS pula memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian, perusahaan, perniagaan, industri serta ekonomi bernilai tinggi.
“Sehubungan itu, kita dapat melihat pembangunan yang sebenar bukan sekadar diukur melalui kemajuan fizikal atau pertumbuhan ekonomi, tetapi apabila kehidupan rakyat menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok di Masjid al-Muhtadin, semalam.
Dalam pada itu, jelasnya, masyarakat tidak boleh lari daripada realiti semasa yang dihadapi rakyat, termasuk tekanan kos sara hidup, keperluan mendapatkan pekerjaan berkualiti, pendidikan anak-anak, peluang perniagaan serta cabaran perubahan ekonomi dunia.
Katanya, Sarawak kini berada dalam fasa penting untuk terus memperkukuh kedudukan ekonominya selain mempertahankan hak dan kepentingan negeri dalam Persekutuan.
“Dalam hal ini, saya percaya kita perlu mengambil pendekatan yang tegas tetapi santun, berprinsip tetapi rasional dan berani tetapi tidak menimbulkan permusuhan.
“Tuntutan Sarawak berhubung hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hendaklah terus diperjuangkan melalui rundingan, saluran perundangan dan mekanisme Persekutuan yang sewajarnya.
“Begitu juga dengan pelbagai isu berkaitan sumber asli serta industri minyak dan gas Sarawak.
“Kita mahu hak dan kepentingan Sarawak dipertahankan, namun pada masa yang sama, kita mahu segala perbezaan dan pertikaian diselesaikan dengan kebijaksanaan, keadilan serta semangat federalisme yang matang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata perbezaan pendirian tidak semestinya menjadikan mana-mana pihak sebagai musuh, malah perselisihan pandangan tidak seharusnya memutuskan hubungan persaudaraan.
“Pertikaian tidak semestinya menjadikan kita musuh. Perbezaan pendirian tidak semestinya memutuskan persaudaraan. Inilah juga antara pengajaran yang dapat kita teladani daripada Rasulullah SAW.
“Baginda tegas mempertahankan prinsip, namun pada masa yang sama sentiasa membuka ruang kepada perdamaian dan penyelesaian.
“Justeru, dalam menghadapi isu-isu semasa, marilah kita memilih jalan hikmah dan keadilan, bukan jalan kebencian dan permusuhan,” tambahnya.
Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan, Muhammad Dino Amid; Ketua Masyarakat Melayu Daerah Saratok, Pemanca Sahari Gani; serta Pengerusi Masjid al-Muhtadin, Yusuf Trang.



