SARIKEI: Program Pinjaman Rumah Panjang (PKPRP) yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak menunjukkan prospek masa depan yang cerah berikutan prestasi baik peminjam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Abdul Yakub Arbi, berkata perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan keberkesanan program tersebut dalam membantu penduduk rumah panjang memiliki kediaman yang lebih selamat dan selesa.

Menurutnya, pembayaran balik pinjaman PKPRP bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi satu amanah sosial.
“Jika gagal dilaksanakan, ia akan menjejaskan peluang generasi seterusnya untuk menikmati kemudahan yang sama.
Kerjasama dan komitmen semua pihak adalah kunci untuk mencapai matlamat ini demi kesejahteraan semua,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi randau bersama ADUN dan Tuai-Tuai Rumah berkaitan Skim Pinjaman Rumah Panjang di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak hari ini.
Beliau menambah, HDC komited memastikan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk rumah panjang yang layak.
Dengan kerjasama erat semua pihak, HDC percaya dana tersebut dapat terus dimanfaatkan secara adil dan lestari, memastikan kesejahteraan penduduk rumah panjang dan kampung terus terjaga.
Menyentuh mengenai jumlah tunggakan pinjaman, beliau berkata, sehingga November 2024, pihaknya merekodkan sebanyak RM 4,024,179.80 daripada jumlah pinjaman RM 31,844,506.96 untuk 70 rumah panjang.
“Peratus tunggakan setakat ini ialah 12.64 peratus,” katanya.
Untuk menangani isu ini, HDC menyeru peranan aktif ADUN dan tuai rumah sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat.
ADUN memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif tersebut.
Hadir sama, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom; ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali.


