ARTIKEL

Awangku Zulkifli Awang Sabeli.

Pemilik dakwa kerja pengorekan punca kerosakan rumah di Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Seorang pemilik kediaman di Taman Sutera Jepak, Awangku Zulkifli Awang Sabeli, 36, mendakwa bahagian belakang kediamannya mengalami kerosakan struktur serius dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pengorekan dan pelebaran sungai yang dijalankan tanpa sebarang notis sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Awangku Zulkifli, rumah yang dibelinya pada 2019 berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang rekahan sebelum kerja pengorekan sungai bermula sekitar 2021.

“Ketika saya membeli rumah ini, tiada sebarang rekahan. Namun selepas kerja pengorekan dijalankan, rekahan mula muncul sedikit demi sedikit dan semakin membesar sehingga kini,” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah, kejadian itu disedari sepenuhnya apabila beliau pulang dari tempat kerja sekitar jam 5.40 petang Jumaat dan mendapati keadaan rumah berubah dengan jelas, dipercayai berlaku semasa beliau tiada di rumah.

Kerja pengorekan tersebut dijalankan di parit yang terletak betul-betul di sepanjang rumahnya, dan bukannya di bahagian seberang sungai seperti yang sepatutnya, sekali gus menjejaskan kestabilan tanah di kawasan berkenaan.

“Tiada sebarang makluman atau notis diberikan kepada kami sebagai penduduk. Kami menyokong usaha melebarkan sungai, tetapi pelaksanaannya tidak sepatutnya menjejaskan keselamatan rumah penduduk,” jelas beliau.

Rekahan pada rumahnya tidak berlaku secara serta-merta, sebaliknya menjadi semakin teruk dari tahun ke tahun sehingga mencapai tahap kritikal pada 2023.

Awangku Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Penghulu Kawasan Jepak, Edel Ismail yang banyak membantu dengan memberi panduan serta memanjangkan isu tersebut kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu untuk tindakan lanjut.

Beliau berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera memandangkan kos pembaikan rumah tinggi dan beliau masih menanggung pinjaman perumahan.

“Kerosakan ini bukan berpunca daripada kami sebagai pemilik rumah. Kami tidak sepatutnya menanggung kerugian akibat kerja pengorekan yang dilakukan tanpa makluman,” katanya.

Sementara itu, Dayang Aziziwaty Awang Ismail, isteri Awangku Zulkifli, meluahkan kebimbangan serius terhadap keselamatan anak-anak mereka yang merupakan kanak-kanak autisme susulan keruntuhan struktur bahagian belakang rumah kediaman mereka.

Menurutnya, pada malam sebelum kejadian, beliau terdengar bunyi kuat seakan pintu ditutup, namun menyangka ia datang dari rumah jiran bersebelahan. Disebabkan hari sudah agak lewat, beliau tidak memeriksa keadaan di bahagian belakang rumah.

“Keesokan harinya, apabila suami saya pulang dari kerja, kami mendapati struktur belakang rumah sudah roboh. Saya sangat takut kerana jika perkara ini tidak ditangani segera, dapur kami boleh runtuh,” katanya.

Dayang Aziziwaty berkata kebimbangan utama mereka ialah keselamatan anak-anak yang berisiko membuka pintu belakang tanpa menyedari bahaya.

“Sebagai ibu, saya sangat bimbang sekiranya anak-anak tiba-tiba membuka pintu belakang. Keadaan ini amat berbahaya dan boleh mengundang tragedi jika tidak diambil tindakan segera. Suami pula kadang-kadang bekerja jauh dan di luar Sarawak, ini menambah kebimbangan saya,” ujarnya lagi.

Rakaman video kerosakan struktur bahagian belakang kediaman Awangku Zulkifli dan keluarga di Taman Sutera Jepak.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan