KUCHING: “Pemimpin GPS tidak pernah mengarahkan atau memaksa tuai rumah untuk membatalkan program sambutan Gawai di Kampung Sg. Buluh”, kata Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Sri Nancy Syukri.

“Tuduhan yang dibuat oleh Joseph Tawie dalam media sosial, Facebook baru-baru ini dengan mendakwa Kerajaan GPS bertanggungjawab atas pembatalan program melibatkan menteri daripada Kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas.

“Padahal berita tentang pembatalan ini baru saya ketahui apabila dihubungi sendiri oleh Tuai Rumah selepas beliau (tuai rumah) mengumumkan tentang pembatalan program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Menurut Nancy, pembatalan tersebut atas dasar keputusan tuai rumah beserta masyarakat rumah panjang itu sendiri dan tiada kaitan dengan sebarang pihak pimpinan Sarawak.

Jelasnya, kenyataan Jospeh yang mengatakan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke peringkat Kabinet Persekutuan mengambarkan sesuatu yang tidak baik buat Sarawak.

“Jika perkara yang tidak betul seperti ini dilaporkan di Kabinet Persekutuan menyebarkan timbulnya satu cerita yang tidak benar.

“Jadi saya perlu terangkan perkara ini dan kita mendengar sendiri melalui mulut tuai rumah bagi mengetahui perkara sebenarnya,” tegasnya.

Beliau risau unsur-unsur seperti ini boleh memberi implikasi kurang baik kepada masyarakat Dayak khususnya kerana di Sarawak penduduknya mampu hidup dalam keadaan aman damai, harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Ujarnya, cerita seperti ini tidak mengambarkan keadaan Sarawak sebenar iaitu sebuah negeri terkenal dengan masyarakatnya yang bersatu padu dan kaya dengan adat budaya sehingga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Tindakan susulan yang akan diambil oleh pihaknya masih lagi dalam perbincangan sama ada laporan polis akan dibuat ataupun mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Turut hadir Pemanca Iban Daerah Simunjan, Peter Money Linggau, Penghulu Simunjan, Mohd Najib Arbi, Tuai Rumah Kampung Sg. Buluh, Sili Bunsi dan Ketua Kampung Kampung Sembau Rimbau, Sebli Uban.

Datuk Seri Nancy bersama Adun Simunjan Awla Dris (duduk paling kiri), Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo (dua kiri), Setiausaha Agung PBB merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga kiri) dan ketua-ketua masyarakat.