KUCHING: Semangat perpaduan, nilai kekeluargaan dan tanggungjawab bersama terus menjadi teras utama dalam usaha memperkukuh masa depan Sarawak yang lebih gemilang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sambutan Hari Krismas merupakan detik istimewa bagi seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk kembali berkumpul bersama keluarga, sahabat serta insan tersayang.

“Perayaan ini bukan sekadar perkongsian kegembiraan, sesi menjamu selera atau usaha mengeratkan silaturahim semata-mata, malah ia mencerminkan keunikan serta kekuatan masyarakat Sarawak yang sentiasa bersatu padu.
“Waktu ini adalah fasa untuk kita bermuhasabah tentang sumbangan yang boleh diberikan kepada Sarawak apabila melangkah ke tahun 2026 nanti,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2025 pada Rabu.
Dr Sim turut menegaskan bahawa kedudukan Sarawak pada tahun 2025 jauh berbeza berbanding sedekad lalu, memandangkan negeri ini kini menjadi tumpuan serta rujukan utama di peringkat nasional.
“Sehubungan itu, setiap rakyat perlu memainkan peranan masing-masing dan menyumbang mengikut kemampuan demi kemajuan bersama, selari dengan aspirasi jangka panjang negeri menuju Sarawak Maju 2030.
“Saya juga mendoakan agar semua rakyat dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat terus menyumbang kepada agenda pembangunan serta pembinaan negeri,” katanya melalui perutusan sempena Hari Krismas 2025 dan sambutan Tahun Baharu 2026.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyifatkan sambutan Hari Krismas sebagai wadah penting untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan serta persahabatan.
“Sambutan Hari Krismas mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan dalam mendepani landskap dunia yang semakin mencabar serta kompleks.
“Nilai asas kemanusiaan seperti budi pekerti, toleransi dan sikap saling menghormati amat penting untuk dipertahankan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak terus terlaksana dengan jayanya,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru rakyat agar mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung serta mengamalkan sikap hormat-menghormati sepanjang musim perayaan ini.
“Gunakanlah ruang ini untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Nilai murni sebegini wajar diwarisi oleh generasi muda,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada, terutama ketika berada di jalan raya serta sentiasa menjaga kesihatan diri berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.






