PADAWAN: Taktik seorang penagih dadah tegar mengutip bekalan pada awal pagi terbongkar apabila dia ditangkap dengan memegang 12 peket mengandungi 6.75 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,350.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abang Ahmad berkata lelaki berusia 23 tahun itu dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di kawasan tempat letak kenderaan berhadapan sebuah kedai makan di Matang Jaya, di sini kira-kira jam 2.05 pagi tadi.
“Ketika diperiksa, suspek menyerahkan sendiri dadah itu daripada genggaman tangan kanannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah suspek turut mengaku mendapatkan bekalan dadah itu secara transaksi bank dan dikutip di kawasan Batu 10, Matang.
Justeru, Abang Zainal berkata pihaknya kini dalam usaha mengenal pasti dan mengesan pengedar yang terlibat.
Selain itu, katanya suspek yang mengaku terlibat dengan penagihan dadah sejak penghujung 2021 juga didapati positif dadah jenis syabu.
Pada masa sama, beliau berkata semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sehubungan itu, Abang Zainal berkata suspek ditahan di lokap Balai Polis Tapah untuk siasatan lanjut dan akan dipohon reman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.






