KUCHING: Seorang penagih dadah tegar bakal meringkuk semula di penjara serta disebat selepas ditangkap kerana memiliki Methamphetamine seberat 5.20 gram yang dianggarkan bernilai RM572.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata lelaki berusia 50 tahun itu dicekup oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching kira-kira jam 2.10 petang semalam di hadapan sebuah rumah di Tabuan Hilir.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah suspek juga memiliki satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan tiga rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta disebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.
Katanya, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 29 September ini hingga 2 Oktober nanti bagi membantu siasatan.






