MIRI: Pasukan Pencak Silat Sarawak menutup tirai acara Silat Olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dengan menghadiahkan tambahan dua pingat emas dan enam gangsa pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Pingat emas masing-masing disumbangkan oleh Mohamad Nurhasri Maxzakir dalam kategori Putra Kelas E dan Ummi Mashitah Hassan bagi kategori Putri Kelas B.
Mohamad Nurhasri memperoleh pungutan mata keseluruhan 60 berbalas 58 ke atas pesilat Pahang, Muhammad Raden Sabry Mohd Insan.
Manakala, Ummi Mashitah mengumpul pungutan mata berjumlah 39 berbalas 24 menentang pesilat Kedah Nur Irhamna Qamariah Wira.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh Arif Danish Amy Zahril Ramdzani bagi kategori Putra Terbuka 1, Rusyaidi Fitri Nazir dalam kategori Putra Kelas C, Siti Aizzah Zahamary bagi kategori Putri Kelas F, Nur Arieyana Yazmin Saupi untuk kategori Putri Terbuka 1, Abdul Afiq Syamil Abdul Juwani dalam kategori Putra Kelas F dan Nursyuhada Mohamad bagi kategori Putri Kelas E.
Dengan kemenangan ini, skuad pencak silat Bumi Kenyalang berjaya mengumpul keseluruhan lima pingat emas dan tujuh pingat gangsa.



