ARTIKEL

Unit Siasatan Forensik Sub-Akuatik PDRM tiba di Kampung Batu 4, Trolak, Perak pada jam 11.10 pagi bagi meneruskan usaha pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah. Pada hari Rabu, telefon bimbit dan beg tangan yang dipercayai milik Nur Farah Kartini telah ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Kampung Sri Kledang dan Kampung Batu 4, Trolak, Perak. Foto: BERNAMA

Pencarian bukti kes Nur Farah diteruskan di kebun ubi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Polis hari ini meneruskan operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Mohd Asri Mohd Yunus, berkata suspek sebelum ini dipercayai mengusahakan kebun ubi tersebut secara sambilan.

Pada masa sama, beliau berkata polis sedang menganalisis kad SIM suspek, yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal, bagi mencari bukti baharu untuk membantu siasatan kes.

“Polis turut menganalisis kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang dirampas semasa suspek ditahan pada Isnin lepas,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata operasi mencari bahan bukti di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River, oleh Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak dapat diteruskan berikutan keadaan cuaca dan arus sungai yang deras.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun, yang juga anggota polis yang bertugas di Perak, ditahan dan direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada Khamis lepas. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Langgur ngemanah ICQS Biawak agi dipansik

KUCHING: Langgur ngemanahka Kompleks Imigresyen, Kastam, Kuarantin enggau Pengelikun (ICQS) Biawak agi dipansik nengah ‘feasibility study’ Pelin Besai Pemansang Kandang Menua Sarawak. Menteri Dagang Temuai,