ARTIKEL

Brahim ketika sesi Bual Bicara MASTERA bertajuk ‘Merentas Sempadan Sastera MASTERA: Idealisme dan Realiti’ sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI.

Pendedahan MASTERA perlu dipertingkat dalam kalangan generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pendedahan mengenai Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) perlu dipertingkatkan dalam kalangan generasi muda bagi memastikan platform kerjasama kesusasteraan serantau itu terus relevan dan berkembang.

Perkara tersebut merupakan antara isu yang ditekankan oleh salah seorang panel, Profesor Madya Ampuan Dr Brahim Ampuan Tengah dari Brunei Darussalam pada sesi Bual Bicara MASTERA bertajuk ‘Merentas Sempadan Sastera MASTERA: Idealisme dan Realiti’.

Beliau berkata, pendekatan seumpama itu penting memandangkan MASTERA masih kurang dikenali, terutama dalam kalangan generasi baharu.

Bagaimanapun, katanya, beliau optimis keadaan itu akan berubah berikutan pelbagai program yang dilaksanakan oleh negara pendiri dan anggota MASTERA.

(Dari kiri) Brahim, Ganjar, Hanafi, Pitchay dan Hashim ketika sesi Bual Bicara MASTERA bertajuk ‘Merentas Sempadan Sastera MASTERA: Idealisme dan Realiti’. FOTO RAMIDI SUBARI.

“Saya berasa optimis pada masa ini, dengan adanya program MASTERA yang telah dilaksanakan oleh negara pendiri dan juga anggota MASTERA, pelajar terutama yang mengambil jurusan kesusasteraan tahu akan peranan MASTERA.

“Selain itu, MASTERA juga sebenarnya tidak perlu dijelaskan lebih-lebih lagi dengan kewujudan kecerdasan buatan (AI); kita boleh mencari apa itu MASTERA dan AI juga boleh memberikan maklumat mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Bual Bicara MASTERA di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, MASTERA turut berperanan mengukuhkan hubungan antara negara anggota menerusi penyelarasan kegiatan kesusasteraan, selain menjadi platform untuk memartabatkan sastera Melayu di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pelbagai kegiatan dilaksanakan di bawah MASTERA, termasuk seminar kesusasteraan antarabangsa, bengkel penulisan, penerbitan jurnal, penterjemahan serta pemberian anugerah kepada penulis.

“Setiap negara juga bergilir-gilir mengadakan sidang MASTERA; kita mengadakan di Malaysia kali ini, mungkin tahun depan di Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam,” ujarnya.

Untuk rekod, MASTERA dianggotai lima anggota tetap, iaitu Malaysia yang diwakili Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Brunei Darussalam yang diwakili Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam; Indonesia melalui Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa; Singapura melalui Majlis Bahasa Melayu Singapura; serta Thailand melalui DBP Melayu Thailand.

Bual Bicara MASTERA itu dikendalikan oleh moderator, Dr Hanafi Ibrahim, sekali gus turut menyaksikan pelibatan panel hebat dan berpengalaman dari Indonesia iaitu Dr Ganjar Harimansyah, Dr Hashim Ismail (Malaysia) serta Dr Pitchay Gani Aziz (Singapura).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU