KUCHING: Sarawak mencatat perkembangan memberangsangkan dalam usaha menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang apabila kadar individu yang tampil mendapatkan bantuan menunjukkan peningkatan ketara — melebihi purata global yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan holistik dan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Ini bermaksud mereka secara sukarela tampil mendapatkan bantuan sama ada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) atau Pusat Sehenti untuk Penagih Dadah (OSCA).
“Golongan ini bukan sahaja berdepan ketagihan rokok, dadah dan alkohol, tetapi juga bahan terlarang lain. Ia adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan kesedaran dan motivasi dalaman untuk pulih,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan statistik tahun 2024, 24,000 individu ditahan menerusi ujian saringan air kencing, dan daripada jumlah itu, 6,000 telah menjalani rawatan, menjadikan nisbahnya 1:4, iaitu satu individu menerima rawatan bagi setiap empat yang ditahan.
“Nisbah ini lebih baik berbanding purata global 1:6 seperti yang ditetapkan PBB. Ini satu penanda aras positif dan bukti keberkesanan strategi kita,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu bukan sekadar melibatkan perbelanjaan besar, tetapi dilihat sebagai pelaburan sosial jangka panjang.
“Dari tahun 2018 hingga Disember 2023, kerajaan negeri telah membelanjakan RM10.75 bilion untuk pelaksanaan pelbagai program antidadah.
“Pulangan kepada pelaburan ini dapat dilihat melalui peningkatan kesedaran masyarakat, penurunan penggunaan dadah, kadar pemulihan yang lebih baik, dan peningkatan bilangan yang tampil mendapatkan bantuan,” katanya.
Dalam majlis sama, penghargaan turut disampaikan kepada empat klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak yang kekal pulih di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah 1983.
“Mereka menerima sijil dan medallion sebagai pengiktirafan selepas berjaya menjalani rawatan selama dua tahun. Lebih membanggakan, mereka tampil ke pentas terbuka tanpa menutup wajah – sebagai simbol keberanian dan komitmen untuk terus pulih.
“Ini merupakan kejayaan besar bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada seluruh sistem pemulihan dan masyarakat secara amnya,” ujarnya.
Penerima penghargaan terdiri daripada dua klien dari Kuching, dua dari Samarahan dan seorang dari Serian, yang telah melalui proses pemulihan dengan cemerlang di bawah seliaan AADK Sarawak.
Sementara itu, katanya lagi, keberkesanan penguatkuasaan turut menyumbang kepada pencapaian positif negeri ini sepanjang tahun 2024.
“Sebanyak 11,400 tangkapan telah dibuat, manakala 76 kilogram syabu berjaya dirampas bersama pelbagai jenis pil seperti Nospan, ekstasi dan Eramin 5.
“Rampasan ini berjaya menyekat lebih 228,000 kali penggunaan dadah, sekali gus menyelamatkan kira-kira 29,641 individu daripada terjerumus dalam kancah penyalahgunaan,” jelasnya.



