ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Penderaan kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KERAP minum air di dalam tandas ketika kelaparan, tahan sakit dipukul serta dicucuh api. Itu penderitaan yang dihadapi seorang kanak-kanak lelaki di Pulai, Johor Bahru apabila menjadi mangsa kekejaman teman wanita bapanya.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menjadi antara berita hangat ketika ini dan mendapat perhatian begitu banyak pihak kerana ia begitu kejam.

Maka terlintas dalam fikiran, apakah yang telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini dalam mengecapi ketamadunan hidup.

Amat menyedihkan, apabila kes penderaan kanak-kanak di negara ini seakan-akan tidak berkesudahan malah terus berlaku, dengan antara faktornya adalah penyalahgunaan dadah dan masalah ekonomi.

Meskipun ramai yang terlibat dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, namun hukuman itu seperti tidak memberi kesan atau menakutkan individu berhati binatang sedemikian.

Berdasarkan statistik, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan 2,959 kes daripada Januari hingga Mei 2023 yang membabitkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

Usaha kerajaan melalui KPWKM dalam menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak juga dilihat amat baik, antaranya melalui penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak bagi menggantikan Bahagian KanakKanak di bawah JKM berkuat kuasa 1 September 2023.

Penubuhan jabatan itu merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing. 

Jabatan ini juga diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanakkanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat.

Dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan KanakKanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung akan ditingkatkan di segenap negara.

Ini selaras dengan tonggak kerajaan yang menyasarkan kesejahteraan masyarakat termasuk menjaga keselamatan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak adalah menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Selain itu, KPWKM juga sedang dalam proses semakan undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dibawa ke Parlimen pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kekejaman yang berlaku dalam masyarakat itu tidak akan dapat dihentikan menerusi usaha serta inisiatif kerajaan sahaja. Terdapat kira-kira 9.2 juta kanak-kanak di seluruh negara. Peranan dalam memastikan kesejahteraan kanak-kanak bukanlah, dan tidak harus hanya dimainkan oleh pihak kerajaan semata-mata, sama ada melalui KPWKM, JKM, Kementerian Pendidikan Malaysia dan sebagainya.

Sebaliknya, perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita semua dan masyarakat setempat, dengan semua memainkan peranan yang penting dalam melindungi kanakkanak daripada penderaan dan pengabaian.

Masyarakat umum perlu tahu apa tindakan yang perlu diambil sekiranya kanak-kanak terdedah atau terlibat dalam kes penderaan dan pengabaian.

Semua pihak, sebagai individu mahupun secara komuniti, perlu bersama-sama cakna terhadap hak kanak-kanak.

Setiap orang harus memainkan peranan dengan memaklumkan serta melaporkan kes-kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, dan ia boleh dilakukan menerusi Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-261 5999 yang beroperasi selama 24 jam.

Apa pun, segala bentuk penderaan ke atas kanak-kanak ini dapat dihentikan jika setiap orang menanamkan sifat kasih sayang dalam diri, seperti yang ditekankan dalam ajaran setiap agama.

Dengan itu, kita tidak akan tergamak memperlakukan sesiapa pun, termasuk kanakkanak yang tidak berupaya dengan kekejaman yang sudah pasti tidak akan dilupakan oleh mereka.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU

Anyi cadang pewarisan senapang patah diperluas

KUCHING: Kelonggaran pewarisan senapang patah kepada adik-beradik kandung dicadangkan bagi menangani isu harta pusaka masyarakat Dayak, khususnya apabila pemilik meninggal dunia tanpa meninggalkan anak atau

Penduduk belanja RM3,500 sebulan bantu pelajar

KUCHING: Penduduk setempat membelanjakan kira-kira RM3,500 sebulan sejak tiga tahun lalu bagi menampung keperluan lebih 20 pelajar luar kawasan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)