ARTIKEL

Pendidikan harapan pelajar miskin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Novel Laskar Pelangi yang difilemkan memasuki edisi cetakan ke-58 pada 2023.

Ketika berkunjung ke Pontianak baru-baru ini saya sempat ke kedai buku terkenal, Gramedia untuk mencari buku terkini.

Saya sebenarnya membeli novel karya Andrea Hirata itu mulai terbit pada 2004, tetapi buku itu hilang dan tidak sempat saya baca.

Novel ini yang diterjemahkan dalam 30 bahasa dunia dan dibaca di lebih 100 negara, mengetengahkan pentingnya pendidikan dalam mengubah nasib individu dan masyarakat. 

Andrea Hirata

Sekolah Muhammadiyah, walaupun serba kekurangan, menjadi simbol harapan bagi 10 orang pelajar miskin di Pulau Belitung yang penuh dengan keterbatasan.

Novel inilah yang mengangkat nama Andrea Hirata ke papan atas dan disifatkan sebagai penulis terlaris antarabangsa Indonesia pertama.

Novel ini yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul The Rainbow Troops menerima anugerah Winner New York Book Festival dan Winner Buchawards di Jerman.

Saya segera dapat mengaitkan kisah dalam novel itu dengan kisah peribadi saya puluhan tahun lalu.

Dengan sekolah yang daif dan murid yang rata-rata miskin, kami berjuang untuk menjadi murid yang pandai bagi mengubah nasib keluarga kami, kerana kami yakin bahawa pendidikan dapat mengubah nasib kami.

Mungkin itu antara sebabnya saya dengan pantas dapat menghabiskannya.

Sebenarnya, Laskar Pelangi ialah buku pertama dari tetralogi Laskar Pelangi.

Novel lain yang mengekorinya ialah Sang Pemimpi, Endensor dan maryamah Karpov.

Hubungan erat antara anggota Laskar Pelangi mencerminkan keindahan persahabatan sejati yang terjalin melalui suka duka kehidupan. 

Ketika membaca novel ini, saya teringat akan teman-teman sekelas saya di kampung puluhan tahun dahulu.

Di manakah mereka sekarang?

Memang, sebahagiannya kekal di kampung, manakala sebahagian lagi berkelana di bandar lain, menentukan nasib masing-masing.

Laskar Pelangi ialah naratif perjuangan anak-anak miskin dalam menghadapi ketidakadilan sosial dan ekonomi. Mereka gigih mengejar impian meskipun berhadapan dengan pelbagai kekangan.

Novel ini juga memaparkan kecintaan keindahan alam dan tradisi masyarakat setempat di Belitung, memperlihatkan hubungan erat antara manusia dan persekitaran.

Andrea Hirata mempertanyakan jurang antara golongan kaya dan miskin di Belitung, khususnya ketidakadilan terhadap kaum pekerja di industri perlombongan timah.

Novel ini mengangkat persoalan tentang bagaimana kemiskinan tidak seharusnya menghilangkan martabat dan nilai kemanusiaan.

Sosok Bu Mus dan Pak Harfan mencerminkan dedikasi luar biasa guru-guru yang berjuang mendidik walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Persoalan sejauh mana impian dapat direalisasikan dalam situasi serba mencabar menjadi inti utama novel ini.

Novel terlaris antarabangtsa itu mencerminkan falsafah bahawa pendidikan adalah hak semua individu tanpa mengira latar belakang ekonomi atau sosial.

Falsafah bahawa harapan, apabila disertai usaha dan keyakinan, mampu mengatasi rintangan.

Andrea Hirata  menyampaikan bahawa kehidupan memerlukan keberanian untuk menghadapi cabaran dan keyakinan untuk terus bermimpi.

Novel ini mengajarkan bahawa kebahagiaan dan kepuasan hidup tidak hanya bergantung pada kemewahan, tetapi juga dalam kesederhanaan dan hubungan manusia.

Ikal ialah seorang anak yang bercita-cita besar, cerdas, dan sangat menghargai pendidikan. Perwatakannya mencerminkan semangat optimisme walaupun berhadapan dengan kemiskinan.

Lintang, teman sebangku Ikal pula ialah seorang pelajar berbakat luar biasa dalam matematik dan sains. Dia mewakili kecerdasan dan potensi luar biasa yang sering terhalang dengan keadaan sosial.

Ayahnya seorang nelayan miskin yang tidak memiliki perahu dan perlu menanggung 14 anggota keluarga. Dia selalu aktif di dalam kelas, dan bercita-cita menjadi ahli matematik.

Mahar ialah seniman dalam kumpulan Laskar Pelangi yang kreatif dan berbakat yang membawa keceriaan dan semangat seni dalam cerita.

Manakala Bu Mus ialah guru penuh dedikasi yang menjadi ibu simbolik kepada anak-anak Laskar Pelangi.

Wataknya menggambarkan keberanian, kasih sayang, dan kesetiaan terhadap pendidikan.

Pak Harfan ialah ‘kepala sekolah’ yang penuh kebijaksanaan dan tegas dengan prinsip pendidikan untuk semua yang menjadi simbol pengorbanan dan dedikasi.

Flo ialah anak gadis yang berasal dari keluarga kaya tetapi memilih untuk bergaul dengan Laskar Pelangi yang melambangkan kesediaan untuk melintasi jurang sosial.

Cerita bermula dengan pengenalan sekolah Muhammadiyah yang hampir ditutup kerana kekurangan murid.

Jumlah minimum murid yang diperlukan untuk memastikan ia tidak ditutup ialah sepuluh orang.  Suasana sekolah yang sederhana tetapi penuh semangat menjadi latar utama.

Anak-anak Laskar Pelangi diperkenalkan, dengan keunikan setiap watak yang mencerminkan harapan dan impian mereka. Konflik utama mula timbul apabila mereka harus berjuang mengatasi cabaran ekonomi, sosial dan pendidikan.

Perlumbaan akademik dan cabaran matematik yang melibatkan Lintang menjadi titik klimaks cerita.

Detik ini menggambarkan potensi luar biasa anak-anak miskin dalam mencapai kejayaan.

Cerita berakhir dengan kisah perpisahan Laskar Pelangi akibat pelbagai faktor kehidupan, tetapi dengan harapan bahawa pendidikan memberi mereka peluang untuk kehidupan yang lebih baik.

Laskar Pelangi ialah sebuah karya luar biasa yang menggabungkan naratif perjuangan, harapan dan nilai-nilai kemanusiaan. 

Novel ini bukan sahaja menyentuh hati pembaca dengan cerita inspirasi, tetapi juga memberikan refleksi mendalam tentang kepentingan pendidikan, ketabahan dan kesederhanaan dalam mencapai kebahagiaan. 

Dengan tema dan persoalan yang relevan di mana-mana masyarakat, novel ini terus menjadi inspirasi dan motivasi bagi pembaca di seluruh dunia.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU