PENDIDIKAN sangat penting dalam asas pembentukan negara dan sebagai kayu ukur kemajuan sesebuah negara.
Ini kerana, dengan ramai jumlah orang yang bekerja dalam bidang profesional dan ramai yang mempunyai pendidikan tinggi dalam sesebuah negara, maka mereka mampu menyumbangkan buah fikiran serta berkongsi ilmu kepada masyarakat.
Dengan pendidikan yang baik juga, individu mempunyai peluang untuk berkembang maju dalam kehidupan sosial dan sebagainya.
Bagaimanapun, apakah maksud sebenar pendidikan? Apakah cabaran dalam mendapatkan pendidikan yang baik dalam dunia yang serba moden kini?
Definisi pendidikan merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus
. Ia juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam seperti pemberian pengetahuan, pertimbangan, kemahiran dan kebijaksanaan.
Salah satu daripada asas matlamat pendidikan adalah untuk mengajar kebudayaan melangkaui generasi.
Dalam hal berkaitan, usaha untuk mendapatkan pendidikan yang baik juga sering dikaitkan dengan faktor kemisikinan — jika seseorang tidak mempunyai tahap kewangan yang baik, ia akan menghalang mereka untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.
Pada masa yang sama, halangan untuk mendapatkan pendidikan yang baik juga sering dikaitkan dengan faktor geografi seperti kawasan luar bandar atau pedalaman.
Memang tidak dinafikan tiada apa-apa boleh menghalang kita untuk meraih kejayaan tetapi ia perlu seiring dengan usaha individu tersebut.
Kita juga tidak menafikan terdapat keterbatasan dari segi kemudahan capaian Internet dan sebagainya di kawasan pedalaman termasuk Sarawak.
Jadi apakah usaha kerajaan dalam membantu rakyat mendapatkan pendidikan yang baik?
Adakah faktor kemiskinan boleh dijadikan asalan untuk kita tidak mendapatkan pendidikan pada masa ini?
Sebenarnya banyak usaha dilakukan oleh Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat berkaitan pendidikan termasuk memberikan biasiswa dan bantuan menerusi Yayasan Sarawak.
Umum mengetahui bantuan dan biasiswa itu untuk membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus meringankan beban mereka.
Baru-baru ini Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa rakyat negeri ini akan menikmati pendidikan percuma tidak lama.
Memetik laporan berita sebelum ini, Abang Johari memberitahu, perkara itu sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak untuk membantu dari segi pendidikan.
Katanya, sebagai permulaan Kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta bermula tahun hadapan.
Bantuan itu juga dikhaskan kepada pelajar yang juga anak Sarawak dalam kalangan B40 diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2024.
Bantuan lain yang turut dicadangkan kata Abang Johari adalah pembelian buku teks yang harganya agak mahal dan membebankan golongan B40.
Beliau juga memaklumkan, dianggarkan lebih 5,000 anakanak dalam kalangan keluarga B40 menuntut di IPT awam dan swasta memerlukan bantuan bagi meringankan beban mendapatkan keperluan pembelajaran.
Perkara itu jelas menunjukkan kepentingan pendidikan.
Tanpa pendidikan yang baik, kita mungkin sukar untuk bersaing di peringkat yang lebih besar.
Oleh itu, masyarakat khususnya ibu bapa perlu memandang serius isu pendidikan ini dan berusaha memastikan anak-anak mendapat pendidikan sewajarnya, kerana hanya dengan pendidikan mampu mengubah cara pemikiran dan tindakan seseorang.
Jadi, adakah kita mahu memandang enteng kepentingan pendidikan selepas ini?
Tepuk dada, tanya selera.



