ARTIKEL

Pendidikan seks perlu diberi perhatian serius

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Pendidikan seks tidak boleh lagi dianggap sebagai isu tabu dan perlu diberi perhatian serius di semua peringkat, termasuk oleh ibu bapa dan institusi pendidikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pendidikan seks perlu dilihat sebagai elemen penting dalam pembentukan nilai dan perlindungan kanak-kanak serta remaja, terutamanya dalam dunia digital masa kini.

“Sebenarnya kita sudah bincangkan perkara ini. Kita dapati pendidikan seks memang ada dalam sistem pendidikan, tetapi disentuh terlalu sedikit.

“Saya rasa itu perlu diubah kerana walaupun ia dianggap tabu, ia tetap nilai penting yang perlu dipelajari,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di Pusat Latihan Akademi Kenegaraan, Sampadi, di sini hari ini.

Nancy berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa kekangan dalam pelaksanaan topik pendidikan seks di sekolah, termasuk rasa segan atau kurang keyakinan dalam kalangan guru untuk mengajar topik berkenaan.

“Memang kita kenal pasti kekurangannya. Dalam buku teks ada, tetapi sedikit. Mungkin cikgu pun malu nak ajar. Ini menjadi cabaran kita. Namun, kita tak biarkan ia begitu sahaja,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian baru-baru ini, membabitkan seorang pegawai polis yang memeriksa telefon bimbit milik anak perempuannya berusia 14 tahun dan menemukan mesej berbaur seksual gadis itu bersama remaja lelaki.

Bagaimanapun, katanya isu berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah, mesyuarat itu turut disertai pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Nancy berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada peranan ibu bapa, yang perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mendidik anak mengenai pendidikan seks, selari dengan pendekatan yang diterapkan menerusi program keibubapaan kementerian.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pendekatan yang dilaksanakan di Sarawak dalam menangani masalah sosial boleh dijadikan contoh dan dikembangkan ke peringkat nasional.

“Pendekatan di Sarawak menyeluruh, melibatkan semua pihak termasuk keluarga. Jika ada keluarga contoh yang berjaya mendidik anak dengan baik, mereka boleh berkongsi dengan masyarakat lain. Tapi kita perlukan lebih ramai komuniti sebegini di seluruh negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembentukan nilai murni dalam kalangan keluarga perlu diperkukuhkan dan masyarakat harus melihatnya sebagai usaha bersama demi masa depan anak-anak dan negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU