ARTIKEL

Huzaimah (tengah) memberikan taklimat kepada anggotanya sebelum memantau keadaan banjir di Debak.

Penduduk digesa bersedia pindahkan harta benda, barang berharga ke tempat selamat masa banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Penduduk yang mana kediamannya sering dinaiki air apabila banjir digesa bersedia untuk memindahkan harta benda atau barang berharga ke tempat selamat, dengan lebih awal.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, berkata penduduk harus peka terhadap perubahan keadaan air dan cuaca semasa.

Lebih-lebih lagi menurutnya, banjir di kawasan Debak kerap berlaku terutama apabila hujan di kawasan hulu bertembung air pasang besar.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai agensi penyelamat yang sentiasa berada di lokasi akan membantu (mengangkat barang).

“Betul kita bantu, namun penduduk harus faham bahawa keseluruhan kampung menunggu bantuan APM, bukannya sedikit.

“Oleh demikian, sekiranya penduduk dapat mengalihkan harta benda sendiri ke tempat selamat dengan lebih awal, saya yakin impak banjir dapat dikurangkan.

“Dalam masa sama sentiasa peka dengan perubahan keadaan air dan mengikuti ramalan cuaca,” katanya kepada Suara Sarawak apabila ditanya tentang cabaran penugasan semasa banjir di sekitar Debak, hari ini.

Jelasnya, semasa kejadian banjir yang baru berlaku, Kampung Babu, Bungey dan Lalang terjejas selama dua hari.

“Air naik pada pagi Jumaat dan surut sepenuhnya petang Sabtu.

“Sebanyak 26 rumah terjejas dan paling teruk ialah Kampung Bungey dalam 70 peratus. Manakala Kampung Babu dan Lalang terjejas sekitar 40 peratus ekoran faktor tanah lebih tinggi berbanding di Kampung Bungey.

“Pemantauan pada pagi tadi (Ahad), banjir telah reda dan semakin surut,” ujarnya.

Tambah Huzaimah, air yang lambat surut disebabkan projek mengatasi banjir di hujung Kampung Lalang belum siap dan diharap kontraktor lebih laju menyiapkannya memandangkan, itu antara projek yang dapat mengurangkan banjir di Debak.

Beliau mengingatkan agar semua penduduk melindungi diri dan ahli keluarga masing.

“Patuh arahan untuk segera berpindah jika penyelamat meminta mereka segera berpindah apabila keadaan tidak selamat.

“Pastikan anak-anak kecil tidak bermain dengan air banjir yang tercemar bagi mengelakkan penyakit atau berlaku kemalangan yang tidak diingini,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU