LINGGA: Projek sistem grid paip sejauh 74 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Bayai di Sri Aman ke Pekan Lingga telah diluluskan untuk pelaksanaan segera bagi memastikan bekalan air yang lebih terjamin bagi penduduk Lingga.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, penduduk kini menerima bekalan air sebanyak 0.65 juta liter sehari (MLD) daripada LRA Lingga.
“Kapasiti ini akan bertambah kepada 1.65 MLD apabila LRA baharu yang menggunakan teknologi ‘acute system’ di tapak bersebelahan siap pada September 2025.
“LRA Bayai kini beroperasi pada kapasiti 46 MLD daripada kapasiti penuh 53 MLD, sekali gus memberikan margin rizab air sebanyak 7 MLD yang membolehkan ia menampung permintaan bekalan ke kawasan Lingga” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Ibadah Korban Peringkat DUN Lingga, di Masjid Al-Hana, hari ini.
Menurutnya, sistem grid tersebut merupakan sebahagian daripada sistem grid air di Bahagian Sri Aman yang bermula dari Loji Rawatan Air baharu berkapasiti 75 JLT di Engkilili, yang kini dalam pembinaan.
“Sistem grid paip air di Bahagian Sri Aman akan membentuk sebahagian daripada sistem grid air di Wilayah Selatan Sarawak merangkumi Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, dan akan disambung dengan sistem grid air Wilayah Tengah Sarawak,” jelasnya.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan geran khas berjumlah RM30,000 kepada Lembaga Pengurusan Masjid Lingga.




