BEGITU juga dengan latar (termasuk latar sosialnya) yang selanjutnya memberi gambaran betapa watak sangat dipengaruhi oleh latar kehidupannya.
Jika kehidupannya terbentuk dalam suasana atau setting atau latar yang dimaksudkan itu gelandangan, hafrak, setinggan dan sebagainya, sudah tentulah pembaca dapat mengharapkan watak yang bagaimananya yang hendak ditonjolkan oleh penulis.
Ini menjadi satu petanda dan/atau bukti bahawa latar sosial saling berkaitan, malah saling melengkapi, dengan psikik watak – aspek dalaman dan kekuatan rohani dan emosi watak.
Oleh sebab itulah perkara ini dinyatakan sebagai kesimpulan bicara: Fictional characters thus frequently seem to be part of the history that lies behind the story or beyond the story as part of our own world, to exist in a reality that is detachable from the words and events of the story in which they appear.
Kenyataan ini sama dengan yang dilutarkan oleh Hashim Awang (1998) ketika beliau menulis:
… keadaan manusia atau orang yang terlibat di dalam persitiwa-peristiwa itu tidak seluruhnya diceritakan, melainkan ada yang ditambah dan ada pula yang disingkirkan. (Hashim Awang, 1998)
Sekalipun demikian keadaan itu, watak dan perwatakan sesuatu cerita yang sastera bermafaat diketengahkan secara berwibawa melalui penerapan satu atau beberapa teori yang mendasari ilmu sastera, sekali gus usaha penelusuran begini akan menjadi kritikan sastera ke atas karya yang ditangani.
Pemikiran Jais dalam Seru
Apakah pemikiran utama dalam tema sosial yang berkait dalam ilmu antropologi Jais Sahok melalui cerpen ini?
Pertentangan sikap, pemikiran, pendirian dan kepercayaan kepada Tuhan antara Basuni dan Dak Joh sememangnya kekuatan elemen prosa dalam cerpen ini dan beberapa karya-karya Jais Sahok yang lain. Sikap dan pemikiran beliau ini terakam dalam Penulisan Cereka Cerpen Edisi Kedua (2008).
Konflik dua insan adik-beradik ini menemukan jawapannya apabila Dak Joh menemui ajalnya di bawah timbunan tanah runtuh dari kaki gunung, namun, sebelum itu dapat menghantar mesej penerimaan seru yang dilakukan oleh Basuni melalui hunjutan tangannya.
Lazimnya orang yang bersengketa, sekalipun adik-beradik seperti Dak Joh dan Basuni, peristiwa seru dan hujan lebat serta tanah runtuh di lereng Gunung Gading tidak cukup bererti untuk mengharmonikan mereka.
Bagaimanapun dalam pemikiran Jais Sahok, oleh sebab mesejnya ialah manusia kembali kepada agama fitrah, maka Joh (Dak Joh) membantu tangan Basuni yang menugucap kalimah syahadah untuk diserukan kepada Dak Joh supaya menerimanya.
Kemenangan berpi hak kepada seru kepada jalan yang lurus seperti yang terkandung dalam ayat al-Fatihah yang dibaca sebagai ayat utama apabila seseorang insan mengamalkan agama fitrah dalam solatnya.
Bagaimanapun, ada sesuatu seruan yang lebih bermakna sebelum hunjutan tangan Dak Joh itu, iaitu:
“Johan, ikut aku. Pejamkan mata kamu. Asyhadu allailahaillallah, waasyhadu ana Muhammadarasulullah.”
Dia tidak dapat mendengar suara Johan, tetapi hunjutan tangannya sebelum runtuhan tanah lereng Gunung Gading itu, sekali lagi menyatakan keyakinan dan penerimaannya. (Seru, 2018)
Gagasan yang tersirat ini menepati persamaan dengan gagasan Anwar Ridhwan (2016) yang mengupas aspek agama pencorak peradaban bahawa penulis yang lahir melalui sistem pendidikan sekolah cenderung untuk memanfaatkan bakat kepengarangan mereka dalam puisi dan prosa untuk menterjemahkan zat, sifat, serta segala praturan-Nya.
Dalam konteks perbincangan ini, Jais Sahok tampak tampil sebagai pengarang yang menyuarakan gagasan bahawa manusia akan kembali kepada fitrahnya sebelum ajalnya – yang digambarkan melalui watak Dak Joh yang dapat ditafsir menyetujui ucap kalimah syahadah yang disampaikan oleh adiknya sendiri, Basuni.
Di samping itu, Jais Sahok juga tampak memanipulasi bahasa sesuai dengan yang ingin dinyatakannya. Ingarden (1973) merupakan mazhab ayat-ayat yang berhubungan itu sebagai jalinan ayat yang bertujuan tertentu (intentional sentence correlatives).
Keistimewaan yang disuguhkan oleh Jais Sahok (2024) ini ialah pengalaman pembacaan yang signifikan kepada penekanan pematik dan pengkaji Seru. Sohaimi Abdul Aziz (2014) menyatakan pengalaman yang diperoleh hasil daripada proses membaca teks itu merupakan pengalaman baharu yang berbeza daripada pengalaman pembaca dalam menerima karya sastera. Dalam konteks ini, pembacaan adalah proses pembaca memberi makna kepada teks, iaitu Jais Sahok.
Ini terbukti Seru ialah sebuah karya prosa yang padat dengan elemen keanifan tempatan yang dipaparkan melalui watak dan sikap serta pemikiran Dak Joh dengan adunan psikologi si anak yang tergapai pelbagai hambatan hidup. Dak Joh dengan adiknya, Basuni.
Seru dalam kajian KMK
Menurut Jais Sahok, Seru ialah cerpen beliau yang kedua terpilih sebagai teks sastera tingkatan enam. Yang pertama ialah cerpen Garis Panorama dalam Teks Antologi Garis Panorama, terbitan MPM-DBP yang digunakan dalam sukatan pelajaran lama.
Seru ialah cerpen beliau yang kedua digunakan sebagai persian antologi karya sastera kajian para pelajar tingkatan enam.
Namun, menurut beliau lagi, Seru lebih istimewa kerana menjadi hadiah pertama dalam peraduan penulisan anjuran DBPCS (2013), kemudian terbit dalam majalah Dewan Sastera (2014) dan dianugerahi Hadiah Sastera Perdana pada 2015 dan kemudian terpilih dan termuat dalam antologi Mahkota Sastera Melayu.
“Saya bersyukur gagasan saya dalam karya sastera dapat dibaca, difahami oleh para hakim pertandingan dan memperoleh hadiah pertama, kemudian dipersetujui oleh editor Majalah Dewan Sastera, yang bagi saya ialah majalah tertinggi kedudukannya dalam penerbitan karya sastera di Malaysia, dan dipersetujui layak untuk Hadiah Sastera Perdana kategori cerpen cemerlang,” kata Jais Sahok.
Jais Sahok juga mengatakan bahawa pelbagai ranjau yang dilalui karyanya itu sehingga menjadi teks kajian pelajar di seluruh negara ialah sumbangan beliau kepada bidang ilmu sastera.
“Saya percaya perbincangan para hakim untuk memenangkan saya sebagai pemenang hadiah pertama, keputusan editor untuk menerbitkannya dalam majalah sastera tertinggi negara dan perbincangan panel Hadiah Sastera untuk memperakukan nya layak bukanlah perbincangan yang sembrono, melainkan melalui pemikiran sastera yang mendalam (deep thinking) dan pertimbangan intelektualisme yang jitu.”
Pemilihannya sebagai sebuah daripada lima cerpen dalam Mahkota Sastera Melayu, menurut Jais Sahok juga bukan benar-benar mencerminkan penghargaan yang sangat istimewa khususnya mengangkatnya sebagai bahagian daripada ilmu sastera.
“Memang banyak mahasiswa universiti, dan pelajar tingkatan enam yang datang dan/atau menghubungi saya untuk membuat kajian tugas, esei, malah untuk menyiapkan tesis ijazah pertama dan / atau sarjana sastera, dan itu menjadikan pengarang sebagai bahagian daripada bidang ilmu yang dikaji.
Seru pula ialah ilmu dalam bentuk teks, yang perlu dibaca dan difahami. Bagi pengarang Seru, pengarang dan karyanya ialah dua entiti badan ilmu yang berbeza. Namun, kedua-duanya saling melengkapi dalam sebuah penelusuran pemikiran perkembangan tamadun manusia.
Kesimpulan
Jais Sahok memang dikenali sebagai pengarang sastera Melayu yang prolifik di Sarawak. Seru tersenarai sebagai cerpen cerpen yang ke-186 (Jais Sahok, 2025, Blogspot) dan sudah tentu pengarang ini menjanjikan cerpen yang lebih mencabar pemikiran khalayak sastera Malaysia selurunya.
Seru yang terpilih sebagai sebuah daripada lima buah cerpen turut menjadi petanda keupayaannya sebagai sebuah karya sastera yang mampu membangunkan pemikiran pengkaji sastera di peringkat pranuniversiti.
Ini sekali gus keterpilihan karya ini dalam teks antologi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif memaparkan satu kemungkinan karya cerpen Jais Sahok yang seterusnya berbaloi dianalisis dan diketengahkan sebagai bahan kajian yang ampuh.



