ARTIKEL

Tiong bertukar cenderamata dengan pihak Lufthansa City Center International semasa menghadiri pameran perdagangan pelancongan antarabangsa ITB Berlin di Jerman, baru-baru ini.

Penerbangan terus Frankfurt–Kuala Lumpur dijangka pacu pelancongan Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pelancaran laluan penerbangan terus antara Frankfurt dan Kuala Lumpur oleh Lufthansa City Center International bermula 25 Oktober ini dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan pelancongan antara Malaysia dan pasaran Eropah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing berkata laluan baharu itu bakal meningkatkan akses pelancong dari Eropah Tengah ke Malaysia selain memperluas peluang kerjasama dalam sektor pelancongan antarabangsa.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika menghadiri pameran perdagangan pelancongan antarabangsa Internationale Tourismus-Börse Berlin (International Tourism Exchange Berlin atau ITB Berlin) di Jerman, termasuk sesi pertemuan bersama wakil rangkaian agensi pelancongan global Lufthansa City Center International.

Menurutnya, rangkaian itu mempunyai kira-kira 320 agensi pelancongan di 110 negara dan berpotensi membantu memperluas promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan di peringkat global.

“Melalui rangkaian antarabangsa yang dimiliki Lufthansa City Center, Malaysia berpeluang memperkukuh strategi pemasaran pelancongan khususnya di pasaran Eropah yang masih kurang mengenali Malaysia sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata Pengarah Urusan Lufthansa City Center International, Heiko Brix, menyatakan komitmen pihaknya untuk menyokong usaha promosi Malaysia dengan memanfaatkan rangkaian agensi pelancongan global di bawah organisasinya.

Menurutnya, pihak terlibat juga bercadang mengemukakan cadangan kerjasama pemasaran bagi mengenal pasti bidang promosi bersama yang boleh dilaksanakan.

Dengan pengenalan laluan baharu itu, Kuala Lumpur akan menjadi destinasi keempat kumpulan Lufthansa di Asia Tenggara selepas Bangkok, Singapura dan Phuket.

Tambahnya lagi, wakil syarikat penerbangan terlibat turut memberi jaminan bahawa keutamaan ketika ini adalah memastikan operasi laluan Frankfurt–Kuala Lumpur berjalan lancar sebelum menilai kemungkinan menambah kekerapan penerbangan atau memperluas rangkaian destinasi pada masa hadapan.

Laluan tersebut juga dijangka menggunakan pesawat moden Boeing 787 Dreamliner yang menawarkan kecekapan operasi lebih baik serta keselesaan kepada penumpang.

Dalam pada itu, Tiong turut mencadangkan supaya kajian pasaran dijalankan bersama Lufthansa bagi meneroka potensi pembukaan laluan baharu ke Munich pada masa depan.

“Kerjasama itu juga akan diselaraskan dengan perancangan tahun pelancongan negara bagi merangka pelan promosi yang lebih konkrit dan berimpak tinggi,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU