ARTIKEL

DEVLIN NIMBES

Pengalaman jarang diperoleh -Wartawan pelatih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA bersekolah, saya sering membaca surat khabar tetapi tidak pernah tergambar di fikiran yang saya akan menjadi wartawan pelatih dan akan menulis berita.

Pada 18 Mac lalu, saya mendapat peluang untuk menjadi pelatih di Suara Sarawak bersama-sama 12 pelatih Universiti Malaysia Sarawak yang lain yang juga rakan sekelas saya.

Latihan industri selama tiga bulan ini salah satu syarat bagi mahasiswa, mahasiswi institusi pengajian tinggi untuk lulus dalam pengajian mereka.

Bagaikan seorang kanak-kanak yang baharu melangkah ke sekolah yang tidak tahu pengalaman yang akan diperoleh dan dipelajari, begitulah juga saya yang hadir dalam bidang ini (kewartawanan).

Sehari sebelum bermula latihan industri, kami mendapat jadual tentang bahagian (meja) penempatan kami.

Keesokan harinya kami diberi taklimat.

Kami dibahagikan kepada empat bahagian iaitu meja am, Inspirasi, video dan Ruai.

Setelah dua minggu, kami diletakkan di bahagian yang berbeza agar semua pelatih dapat merasai tugas di setiap bahagian.

Tiga minggu pertama, saya dan dua rakan Firna dan Mary diletakkan di bahagian Inspirasi iaitu bahagian yang bertanggungjawab dalam berita hiburan dan rencana.

Agak mencabar pada mulanya kerana saya perlu memahami cara penulisan dan format yang ditetapkan.

Selepas minggu pertama, ternyata bahagian ini agak mudah dan seronok terutamanya membuat rencana. Selesai tiga minggu, kami dipindahkan ke bahagian lain pula. Kali ini saya ditempatkan di bahagian video.

Seperti bahagian lain, saya juga tidak tahu apa-apa tentang penghasilan berita melalui video.

Namun kami dibantu dan dilatih menggunakan format menyunting video serta cara penggunaan aplikasi CapCut.

Pada pendapat saya, ini bahagian yang paling mudah kerana hanya perlu mengambil video dan menyunting menggunakan templat yang telah disediakan tetapi cabaran yang perlu dihadapi adalah ketika storan atau memori telefon penuh.

Ketika di bahagian ini jugalah berlaku perkara yang agak kelakar kepada saya.

Masih segar di ingatan, ketika berada di khalayak ramai untuk mengambil video, memori telefon bimbit saya penuh.

Pada saat itu jugalah perlu memadam dan uninstall aplikasi lain ketika begitu ramai orang memandang ke arah saya.

Saya juga ditugaskan di pelbagai lokasi.

Semuanya menarik. Meskipun ada yang beranggapan ia jauh, tetapi bagi saya, pengalaman ini lebih berharga. Peluang sebegini jarang diperoleh.

Saya sangat teruja kerana ingin melihat kawasan baharu dan berjumpa dengan orang dari kawasan dan daerah lain.

Pada 30 April lepas, saya mendapat peluang untuk mengunjungi PLBN Jagoi Babang, Indonesia bersama-sama wartawan senior yang lain.

Selain itu, pernah juga ditugaskan di Tebedu yang juga berdekatan dengan sempadan Sarawak dan Indonesia.

Di sebalik semua pengalaman ini, tidak pernah terlintas di fikiran saya akan menghadiri upacara pengebumian semasa menjalani latihan ini.

Pada 25 April lepas, saya dan wartawan yang lain ditugaskan untuk membuat liputan berita pada hari pengebumian mendiang Joanna Felicia, salah seorang mangsa tragedi helikopter di Lumut, Perak.

Pengalaman baharu yang menyentuh emosi.

Bergelar wartawan pelatih juga mengajar saya banyak perkara. Salah satunya mengubah keperibadian diri.

Saya yang sebelum ini agak pendiam harus menjadi lebih berani mendekati orang yang hendak ditemu bual.

Semua ini juga mengajar saya erti menepati masa dan disiplin sebab setiap majlis yang dikunjungi, saya harus menepati masa. Berita yang telah diproses pula harus dihantar secepat mungkin.

Tidak lupa juga pada minggu ketiga latihan industri ini, saya ditugaskan untuk menyiapkan slaid PowerPoint untuk Datuk Dr Jeniri Amir untuk dibentangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengalaman yang amat berharga.

Saya memperoleh pengetahuan baharu secara langsung daripada seorang individu yang cukup hebat dan dikenali dalam bidang penulisan dan media.

Semasa menulis rencana ini, saya sedang duduk di tempat biasa iaitu tempat untuk saya menyiapkan segala tugasan berita dan tugas KPI yang diberikan, iaitu dua hari sebelum 7 Jun — hari terakhir saya bersama-sama rakan-rakan yang lain sebelum menamatkan latihan industri di Suara Sarawak.

Sepanjang 14 minggu ini, tidak pasti sama ada rakan pelatih lain sama seperti saya atau tidak — setiap malam saya teruja menunggu jadual tugasan keesokan hari.

Inilah perasaan yang pasti akan saya rindui setelah menamatkan latihan industri ini.

Tak kenal maka tak cinta, itulah ayat untuk kita yang tidak tahu akan sesuatu perkara yang belum kita ceburi. Jadi bagi pelajar universiti yang bakal menjalani latihan industri, anda digalakkan mencuba kerana anda pasti tidak menyesal.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang selalu bersama-sama saya.

Tanpa mereka, pengalaman menjalani latihan industri ini pasti akan sukar dan membosankan.

Tahniah juga kepada rakan-rakan saya yang berjaya mengharungi latihan industri ini dengan jayanya dan diharapkan kita semua akan terus berjaya.

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU

Anyi cadang pewarisan senapang patah diperluas

KUCHING: Kelonggaran pewarisan senapang patah kepada adik-beradik kandung dicadangkan bagi menangani isu harta pusaka masyarakat Dayak, khususnya apabila pemilik meninggal dunia tanpa meninggalkan anak atau

Penduduk belanja RM3,500 sebulan bantu pelajar

KUCHING: Penduduk setempat membelanjakan kira-kira RM3,500 sebulan sejak tiga tahun lalu bagi menampung keperluan lebih 20 pelajar luar kawasan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)