Penganggur ditangkap bawa 30 gram syabu

BINTULU: Seorang penganggur dicekup kerana memiliki dadah jenis methamphetime atau syabu dalam satu serbuan di hadapan rumah tidak bernombor berdekatan Rumah Jam, Jalan Bintulu- Bakun, dekat Tubau, pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata penganggur berumur 49 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan, katanya, sepasukan polis dari Balai Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daearh Bintulu diketuai Inspektor Nicholas Golibin telah menjumpai satu kotak rokok putih jenama M2 di bawah tangga kediaman terbabit.

“Apabila dibuka dan diperiksa, terdapat satu peket lutsinar mengandungi tujuh peket lutsinar dan satu lagi peket plastik lutsinar yang mana di dalamnya terdapat 22 keratan tiub straw lutsinar dengan setiap satu berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine(syabu) berat kasar keseluruhan 30.10 gram dengan anggaran nilai pasaran tempatan RM4,500, ujarnya.

Hasil ujian saringan air kencing ke atas saspek, katanya, mendapati sabjek negatif dadah sambil menambah siasatan awal polis turut mendapati saspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Zulkipli lagi, selain disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, saspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ekoran tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada sepuluh sebatan.

Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga kali sebatan.

Suara Sarawak