KUCHING: Borneo–Japan NewTrends Trade Expo 2026 (BJNT 2026) bukan sekadar pameran budaya atau acara anime, sebaliknya menjadi platform untuk menghubungkan Borneo dan Jepun menerusi perdagangan, teknologi, budaya serta jaringan komuniti.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng berkata penganjuran ekspo itu turut membuka peluang kepada komuniti perniagaan tradisional meneroka segmen pasaran baharu yang semakin berkembang, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Tambahnya, pendekatan itu merupakan satu eksperimen bagi menilai sejauh mana sektor perniagaan konvensional mampu memanfaatkan komuniti seperti peminat cosplay, anime dan Beyblade sebagai medium pemasaran yang berkesan.
“Kita mahu menghubungkan perniagaan tradisional dengan pasaran generasi baharu. Kita ingin melihat sama ada komuniti ini mampu membantu memperluaskan pemasaran dan menjana peluang perniagaan baharu.
“Ini ialah segmen pasaran yang sebelum ini kurang diterokai. Oleh itu, kita perlu berani mencuba pendekatan baharu dan keluar daripada zon selesa,” katanya pada sidang media sempena BJNT 2026 di ibu pejabat MBKS, di sini, hari ini.
Ekspo berkenaan akan berlangsung pada 15 dan 16 Ogos depan di The Everly Lhess Hotel Kuching, bersebelahan Vivacity Megamall.

Mengulas lanjut, Wee berkata, antara tarikan utama ekspo itu ialah kehadiran artis cosplay terkenal dari Jepun, Hakken, selain sesi ramah mesra, sesi perkongsian interaktif, sesi fotografi dan soal jawab bersama peminat.
Katanya, kejohanan Beyblade X yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM5,400 turut menjadi antara acara utama sepanjang ekspo berlangsung.
Tambahnya lagi, setakat ini hampir 450 daripada 500 pas VIP yang disasarkan telah didaftarkan, dengan penyertaan bukan sahaja dari Malaysia malah melibatkan peserta dari Brunei, Indonesia dan Singapura.
“Tiket masuk dijual pada harga antara RM20 hingga RM180. Pakej VIP bernilai RM180 adalah terhad kepada 180 peminat sahaja, manakala tiket awal untuk orang ramai berharga RM40.
“Kami turut menyediakan kemasukan percuma kepada orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan komuniti tertentu, namun semua pengunjung tetap perlu membuat pendaftaran dalam talian,” katanya.
Pada masa sama Wee turut mencadangkan supaya penganjur mempertimbangkan pakej khas untuk keluarga bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa membawa anak-anak menghadiri ekspo berkenaan.
Menurutnya, MBKS akan terus menyokong penganjuran program yang mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat serta memperkayakan produk pelancongan bandar raya Kuching.






