KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan cubaan pengedaran dadah di Kampung Goebilt menerusi penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun semalam.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas dadah jenis syabu (methamphetamine) dan pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan hasil risikan berterusan pihak polis.
Ujian saringan air kencing awal ke atas suspek turut menunjukkan keputusan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Rampasan melibatkan methamphetamine seberat 7.90 gram dan pil Erimin 5 seberat 2.40 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson menambah, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April 2026 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kejayaan ini merupakan hasil gabungan risikan polis dan kerjasama erat daripada orang awam,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Langkah itu tegasnya penting bagi memelihara keselamatan komuniti serta melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyalahgunaan dadah.



