ARTIKEL

Nik Nazmi Nik Ahmad menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), COP29 di Baku, Azerbaijan.

Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia fokus kepada isu perubahan iklim sebagai agenda utama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAKU, Azerbaijan: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 akan mengutamakan isu perubahan iklim sebagai agenda utama rantau ini.

Ia selaras dengan tema ‘keterangkuman dan kelestarian’, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Malaysia, sebagai Pengerusi Bagi Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Perubahan Iklim (AWGCC) 2022 hingga 2025, berpeluang memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani perubahan iklim.

“Malaysia berhasrat untuk membentangkan kenyataan bersama ASEAN mengenai perubahan iklim di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Brazil,” katanya kepada BERNAMA sempena COP29 di sini hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi berkata satu inisiatif Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF), yang dipelopori oleh sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), bertujuan untuk menyelaraskan piawaian kredit karbon antara negara-negara ASEAN dengan fokus kepada Thailand, Singapura dan Indonesia.

Beliau berkata langkah itu penting untuk menggalakkan perdagangan karbon serantau dan menyokong pelaksanaan Pasaran Karbon Kebangsaan di Malaysia.

Ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Nik Nazmi berkata ASEAN kaya dengan kepelbagaian tetapi berkongsi cabaran yang sama dalam perubahan iklim.

Oleh itu, negara anggota yang sudah melaksanakan dasar iklim tertentu dapat dijadikan rujukan dan dilaksanakan di negara ASEAN yang lain.

Selain itu, beliau berkata inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG), yang dipelopori Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), juga merupakan agenda yang akan diketengahkan.

“APG ini dibincangkan 20 tahun lepas, cuma sekarang dengan harga tenaga menjadi semakin tinggi dan soal perubahan iklim yang semakin mendesak, maka APG menjadi semakin relevan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman di Eropah menunjukkan bahawa grid serantau menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara optimum, contohnya ketika angin banyak di Britain, maka hasil tenaga itu boleh dijual ke Eropah.

“Jika kita dapat menggunakan APG boleh digunakan untuk memperdagangkan tenaga, maka ini antara perkara Malaysia akan ketengahkan memandangkan lokasinya di tengah-tengah,” katanya.

Nik Nazmi berkata dasar negara yang jelas, seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), selain kestabilan politik akan menarik lebih banyak pelaburan hijau.

Menurutnya, pelabur kini lebih fokus kepada negara yang mempunyai tenaga hijau dalam pasaran kerana mereka di bawah tekanan untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 November ini di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025. – BERNAMA (Samantha Chiew)

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli