ARTIKEL

Khadijah ‘Ainaa Raouf Al-Samarraie | Bernama

Pengesanan awal beri sinar baharu buat Khadijah Al- Samarraie

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Niat asal sekadar mahu menghadiri pemeriksaan susulan terakhir membawa kepada pengesanan awal kanser karsinoma nasofarinks (NPC) atau kanser pangkal hidung tahap satu yang dihidapi seorang pensyarah undang-undang pada Januari 2020.

Khadijah ‘Ainaa Raouf Al-Samarraie mengakui hampir membatalkan janji temu itu kerana demam dan batuk yang dialaminya selama hampir enam bulan selepas pulang bercuti pada pertengahan 2019, telah pun sembuh.

“Saya telah menjalani beberapa pemeriksaan termasuk ujian bronkitis dan tuberkulosis, tetapi doktor tidak menemukan masalah serius.

Jadi, sebelum dilepaskan daripada rawatan susulan, doktor merujuk saya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menemukan ketumbuhan di belakang rongga hidung sebelum biopsi mengesahkan saya menghidap NPC tahap satu yang hampir memasuki tahap dua,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Sambutan Hari Kanser Kepala & Leher Sedunia Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini baru–baru ini.

Mengakui sukar menerima diagnosis itu, Khadijah ‘Ainaa, 43, berkata tidak ada sebarang tanda fizikal yang kelihatan atau rasa sakit dialaminya sebelum diagnosis tersebut.

“Apabila doktor memberitahu saya menghidap kanser, memang saya menangis.

Saya tertanya-tanya di mana kanser itu kerana saya tidak nampak atau rasa apa-apa.

Saya juga tidak merokok, cuma keluarga saya memang ada sejarah kanser di mana ibu saya ialah pejuang kanser payudara,” katanya.

Selepas disahkan menghidap NPC, anak kelahiran Bandar Baru Bangi, Selangor ini menjalani satu kitaran kemoterapi bagi mengawal pertumbuhan tumor, sebelum memulakan 33 sesi radioterapi selama tujuh minggu di HCTM, dan menamatkan rawatan pada Mac 2020.

Namun, perjuangan itu jauh lebih mencabar daripada yang dibayangkan.

Rawatan pada bahagian kepala dan leher memberi kesan besar terhadap kehidupannya apabila mulut dipenuhi ulser, tekak membengkak dan proses menelan makanan serta minuman menjadi sangat menyakitkan.

Selepas tamat rawatan pula dia mengalami muntah berterusan, menyebabkan masalah pada tulang belakang sehingga menghimpit saraf dan mengakibatkannya lumpuh selama enam bulan.

“Saya perlu menjalani pembedahan untuk mengurangkan tekanan pada saraf, kemudian mengikuti fisioterapi bagi belajar berjalan semula dan mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk kembali berjalan seperti biasa,” katanya yang kini bebas daripada NPC.

Menurut Khadijah ‘Ainaa, pengalaman melawan kanser mengajarnya seseorang tidak perlu menyembunyikan rasa takut atau kesedihan, tetapi perlu terus berusaha mendapatkan rawatan.

“Tidak mengapa untuk menangis kerana itu menunjukkan kita manusia.

Tetapi kita tetap perlu berusaha dan meneruskan rawatan,” katanya yang mengakui sokongan keluarga menjadi kekuatan untuk terus bertahan melawan penyakit tersebut. 

Sementara itu, Pakar Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher HCTM UKM Dr Lum Sai Guan berkata NPC bermula di bahagian atas tekak, iaitu di belakang hidung, dan kedudukannya yang tersembunyi menyebabkan simptom awal sukar dikesan.

“Antara tanda amaran ialah benjolan yang tidak sakit pada leher, telinga tersumbat secara berterusan, telinga berdesing dan hingus bercampur darah,” katanya.

Dr Lum berkata faktor risiko NPC termasuk genetik, jangkitan virus Epstein-Barr (EBV), kerap makan makanan yang diawet atau ikan masin sejak kecil, tabiat merokok dan mengambil alkohol.

Lebih kerap dihidapi lelaki berketurunan Cina Selatan atau Asia Tenggara, beliau menegaskan pengesanan awal amat penting bagi meningkatkan kadar kejayaan rawatan, sekali gus mengelakkan keperluan terhadap rawatan lebih agresif yang boleh memberikan kesan sampingan berpanjangan kepada pesakit. — Bernama

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU