KUCHING: Penggunaan kenderaan elektrik (EV) seperti motosikal terus diperluaskan di Sarawak selaras dengan inisiatif kerajaan dalam mempromosikan tenaga hijau ke arah mencapai kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Eksekutif MYUS Auto Tech Sdn Bhd, Datuk Nellsen Young, berkata susulan itu pihaknya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan motosikal elektrik jenama EBixon di negeri ini dengan perkhidmatan jualan dan penyewaan.

“Kami memperkenalkan inisiatif menarik sekali gus merevolusikan penggunaan pengangkutan dan pelancongan di Sarawak dengan perkhidmatan yang ditawarkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran rasmi motosikal elektrik jenama EBixon di Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini, hari ini.
Tambahnya, motosikal mesra alam ini mengeluarkan sifar pelepasan dan memainkan peranan penting dalam memelihara alam sekitar, menjaga warisan semula jadi, dan meningkatkan daya tarikan pelancongan di Sarawak kepada komuniti global.
“Motosikal elektrik bukan sekadar alat pengangkutan, ia adalah simbol industri pelancongan mampan yang menghormati alam sekitar, menggalakkan kepelbagaian budaya, dan mengukuhkan komuniti tempatan.
“Sebagai Peniaga Utama EBixon yang dilantik untuk Sarawak, Perlis, Langkawi dan Pulau Pinang, kami mendedikasikan diri untuk mempromosikan penyelesaian mobiliti mesra alam di seluruh rantau ini.
“Terdapat tawaran rebat tunai sebanyak RM2,400 kini tersedia apabila anda membeli motosikal elektrik melalui Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik Untuk Rakyat (MARiiCas),” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Ni Hsin EV Tech (NHEVT), Datuk Seri Rosman Mohamed, memaklumkan motosikal ini telah dilancarkan pada bulan November 2022 dan mula dipasarkan pada bulan Januari tahun lepas setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, Kerajaan Sarawak mengutamakan kelestarian alam sekitar di negeri ini melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Justeru, percaya bahawa motosikal elektrik ini dapat membantu untuk menerajui Sarawak khasnya dan Malaysia amnya ke arah Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Alam Sekitar dan Budaya Gaya Hidup Hijau serta melengkapkan matlamat dan usaha Kerajaan untuk menjadi Negara Neutral Karbon menjelang 2050,” jelasnya.
Untuk rekod, NHEVT telah bekerjasama dengan MYUS Autotech sebagai ‘Master Dealer’ untuk mempromosikan jualan dan sewaan motosikal elektrik EBixon di Sarawak dan turut diberi status tersebut di negeri Perlis, Pulau Pinang dan Langkawi juga.
Pelancaran rasmi EV tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.






