ARTIKEL

AZHAD HAZIQ mewakili Sarawak bagi temasya SUKMA SELANGOR 2026 baru-baru ini.

Pengorbanan demi sebuah impian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BERMULA sekadar dengan hasrat untuk mempelajari seni mempertahankan diri, siapa sangka minat itu membawa Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid melangkah ke pentas Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus menggalas nama Sarawak dalam arena Muay Thai.

Kisah pelibatan Azhad Haziq dalam Muay Thai sebenarnya bermula tanpa sebarang perancangan yang rapi. Niat asalnya hanya untuk mempelajari seni mempertahankan diri sebagai persediaan melindungi diri, namun minat yang semakin mendalam akhirnya membawa beliau ke pentas pertandingan.

Daripada sekadar mahu belajar mempertahankan diri, beliau kemudian diberi kepercayaan untuk mewakili Sarawak pada peringkat kebangsaan.

Dengan hanya berbekalkan kira-kira tujuh bulan latihan intensif, anak muda kelahiran Kuching itu berjaya menembusi skuad Muay Thai Sarawak untuk menggalas cabaran pada SUKMA XXI Sarawak 2024.

Bagi Azhad Haziq, ketiadaan pengalaman luas dalam sukan tempur serta rekod hanya tiga perlawanan sebelum menyertai SUKMA bukanlah penghalang untuk mencabar diri.

Sebaliknya, keberanian, disiplin dan kesungguhan menjadi kekuatan yang membantunya melangkah lebih jauh daripada yang pernah dibayangkan.

Lebih manis, Azhad Haziq berjaya meraih pingat perak dalam kategori 71 kilogram pada SUKMA Sarawak 2024, sekali gus mencipta detik paling bermakna dalam perjalanan awalnya sebagai atlet Muay Thai.

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kejayaan peribadi, malah membuka lembaran baharu dalam kerjayanya serta mengubah pandangan keluarganya terhadap pelibatannya dalam sukan berkenaan.

Pada tahun ini, Azhad Haziq kembali membawa cabaran Sarawak pada SUKMA Selangor 2026, namun kali ini beliau belum berjaya membawa pulang sebarang pingat.

Bagaimanapun, penyertaan itu tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan pentingnya sebagai atlet muda yang terus membina pengalaman di pentas tertinggi sukan tanah air.

Menurutnya, pada peringkat awal, ibu bapanya agak terkejut apabila beliau memilih untuk menceburi sukan tempur memandangkan sebelum itu beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana sukan seumpamanya.

“Pada mulanya, keluarga saya tidak menyokong sepenuhnya. Tetapi selepas saya menyertai SUKMA dan berjaya mendapat tempat kedua, dari situlah keluarga saya mula memberikan sokongan 100 peratus terhadap pelibatan saya dalam sukan ini,” katanya ketika berkongsi pengalamannya bersama Suara Sarawak.

Di sebalik kesibukannya sebagai atlet, Azhad Haziq kini meneruskan pengajian Diploma Perakaunan di Politeknik Kuching Sarawak.

Rutin hariannya bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau perlu membahagikan masa antara tuntutan pengajian dengan latihan.

Walaupun sedang menjalani latihan industri, Azhad Haziq tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk ponteng latihan.

Beliau bertugas dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang sebelum meneruskan rutin dengan latihan larian dan sesi gimnasium dari jam 5.30 petang hingga sekitar 9.00 malam.

Bagi Azhad Haziq, cabaran terbesar sebagai atlet Muay Thai bukan sekadar menuntut ketahanan fizikal, sebaliknya turut memerlukan kekuatan mental dan kecekalan untuk terus bertahan tanpa mudah menyerah kalah ketika menjalani latihan.

Perasaan gementar juga tetap ada setiap kali melangkah masuk ke gelanggang, terutama ketika pertama kali beraksi di pentas besar.

Namun, pengalaman yang diperoleh daripada setiap perlawanan membantunya menjadi lebih tenang dan matang, khususnya dalam mengatur strategi ketika berdepan dengan lawan.

Dalam perlawanan sebagai atlet muda, beliau mengakui banyak perkara terpaksa dikorbankan berbanding rakan sebaya, termasuk masa, wang ringgit dan tenaga.

“Sebagai atlet muda, saya perlu mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga.

“Bagi saya, kalau kita bersusah payah sekarang pada peringkat awal, dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, kita akan menjadi lebih senang jika kita sudah bekerja keras dari sekarang,” ujarnya.

Walaupun SUKMA Selangor 2026 tidak menyaksikan beliau membawa pulang sebarang pingat, Azhad Haziq tidak menganggap kegagalan itu sebagai titik noktah dalam perjalanan kerjayanya.

Sebaliknya, beliau memasang impian untuk terus mengembangkan kerjaya dalam arena Muay Thai dengan menyertai lebih banyak pertandingan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu memberikan tumpuan kepada pertandingan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tidak kira di mana-mana negeri mahupun di luar negara. Ini demi mengharumkan nama negeri dan negara kita,” katanya lagi.

Kisah Azhad Haziq membuktikan kejayaan tidak semestinya bermula dengan pengalaman yang panjang. Daripada seorang anak muda yang pada awalnya hanya mahu mempelajari seni mempertahankan diri, beliau kini berdiri sebagai atlet yang berpeluang membawa nama Sarawak ke pentas yang lebih tinggi.

Lebih daripada sekadar pingat dan kemenangan, perjalanannya memperlihatkan nilai pengorbanan apabila masa, tenaga dan keselesaan terpaksa diketepikan demi mengejar impian serta mengharumkan nama negeri.

Bagi Azhad Haziq, gelanggang Muay Thai bukan sekadar tempat bertanding, tetapi juga medan untuk membuktikan disiplin, kekuatan mental dan kesanggupan berkorban mampu mengubah minat menjadi satu perjuangan.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU