MUKAH: Cadangan pengurangan perbelanjaan kerajaan, termasuk dalam sektor kesihatan, masih pada peringkat awal dan kini dalam proses penelitian secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan tanpa menjejaskan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
“Sebarang pengurangan peruntukan akan memberi tumpuan kepada aspek yang tidak memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan asas.
“Pengurangan kewangan harus ditumpukan kepada perkara yang tidak mempunyai impak langsung kepada rakyat.
“Sebagai contoh, penjimatan boleh dilaksanakan menerusi pengurangan perbelanjaan promosi fizikal dan beralih kepada kaedah lebih menjimatkan seperti penggunaan media sosial serta komunikasi dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat Bahagian Mukah di Tapak Kaul Pantai Kala Dana, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, situasi geopolitik global turut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, khususnya melalui kenaikan harga minyak dunia.
Ujarnya, keadaan tersebut memberi kesan langsung terhadap kos pengangkutan sekali gus mendorong peningkatan harga barangan keperluan.
Dalam pada itu, kerajaan kekal komited meneruskan pemberian subsidi secara bersasar bagi membantu mengurangkan beban rakyat.
Pada masa sama, beliau menggalakkan rakyat mengamalkan penggunaan sumber secara lebih berhemah termasuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Rakyat juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam berdepan tekanan kos sara hidup dengan mengamalkan perbelanjaan berhemat.
“Selain itu, alternatif seperti penanaman makanan sendiri juga perlu diteroka bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran,” katanya.
Tambahnya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama kerajaan, organisasi dan rakyat amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara dalam jangka panjang.
Menyentuh mengenai Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2), beliau memberitahu program tersebut telah diadakan di beberapa klinik kesihatan di Bahagian Mukah.
Jelasnya, jelajah tersebut penting bagi mengenal pasti masalah serta kekurangan yang terdapat di sesebuah klinik.
Tambah Hanifah, jelajah tersebut akan diteruskan di Sabah pada masa akan datang.



