ARTIKEL

TERJEJAS AKIBAT JEREBU... Rena memperkenalkan inap desa yang diusahakannya di Kampung Telok Melano.

Pengusaha inap desa Telok Melano terjejas akibat jerebu, cuaca kering

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEMATAN: “Orang datang, nanti mereka tanya, ‘Mana air?’”

Itu kebimbangan yang menghantui pengusaha inap desa di Kampung Telok Melano, Sematan, apabila keadaan sumber air semakin kritikal susulan cuaca panas dan kering ketika kawasan itu turut diselubungi jerebu.

Bagi Rena Seba, 56, yang mengusahakan inap desa di kampung berkenaan sejak 2020, krisis air kini bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk, malah memberikan tempias kepada kelangsungan perniagaan dan sektor pelancongan setempat.

SUNYI… Suasana di pantai Kampung Telok Melano yang agak lengang susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak.

Katanya, sumber air gunung yang selama ini digunakan penduduk tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan, terutama apabila inap desa menerima tetamu.

“Air gunung memang tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk kampung.

Kalau inap desa menerima tetamu, memang tidak cukup.

SUNYI… Suasana di pantai Kampung Telok Melano yang agak lengang susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak.

“Sekarang keadaan sudah kritikal,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Menurut Rena, keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan turut memberikan kesan kepada sumber air, manakala jerebu menyebabkan jumlah pengunjung berkurangan dan kegiatan ekonomi setempat semakin terjejas.

Katanya, beberapa pengusaha inap desa terpaksa menutup operasi buat sementara waktu kerana tidak mahu mengambil risiko menerima tetamu ketika bekalan air tidak mencukupi.

SUNYI… Suasana di pantai Kampung Telok Melano yang agak lengang susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak.

“Bila jerebu dan panas kuat, perniagaan sudah kurang. Banyak inap desa tutup dan menunggu keadaan kembali pulih.

“Kami takut orang datang tetapi nanti bertanya, ‘Mana air?’

Akhirnya menyusahkan pengunjung dan diri sendiri,” katanya.

Tambah Rena, keadaan itu turut menyebabkan pelanggan yang sudah membuat tempahan memilih untuk menukar tarikh penginapan, manakala pengusaha mengambil pendekatan bertimbang rasa dengan memulangkan deposit sekiranya tempahan tidak dapat diteruskan.

Katanya, komunikasi awal antara pengusaha dengan pelanggan penting bagi mengelakkan kerugian kepada kedua-dua pihak, selain membolehkan tarikh berkenaan ditawarkan kepada pelanggan lain.

“Pihak inap desa akan maklumkan lebih awal jika bekalan air bermasalah.

Begitu juga pelanggan, jika tidak dapat datang, mereka perlu maklumkan lebih awal supaya orang lain boleh membuat tempahan,” jelasnya.

Rena berkata, penduduk dimaklumkan bahawa masalah bekalan air dijangka dapat ditangani menerusi projek berkaitan yang dijangka siap pada 2028, namun mereka berharap pelaksanaannya dapat disegerakan berikutan keadaan semasa yang semakin kritikal.

Justeru, beliau berharap hujan kembali turun bagi membantu memulihkan sumber air, sekali gus membolehkan operasi inap desa dan aktiviti pelancongan di Kampung Telok Melano kembali rancak seperti sebelum ini.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak setakat pukul 1 petang ini, kualiti udara di empat kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat.

Serian mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi, iaitu 236, diikuti Lubok Antu (218), Lundu (207) dan Tebedu (201).

Sebanyak 12 stesen merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Sri Aman (199), Kuching (182), Samarahan (185), Sarikei (131), Sibu (114), Bintulu (141), Kanowit (172) dan Betong (190).

Sementara itu, sembilan stesen mencatat bacaan sederhana, dengan Bario merekodkan IPU terendah, iaitu 61, diikuti Limbang (75), Kapit (77), ILP Miri (77), Lawas (91), Miri (94), Samalaju (95) dan Mukah (96).

BERITA LAIN

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang

BERITA TERBARU

DBP Sarawak ngena chara baru marit rebak biak

KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Pampang Sarawak nyelinting ngena chara baru ungkup marit raban nembiak rebak baru ba bidang jaku enggau litaricha dikena ngerembaika