Peniaga kedai runcit ditahan dalangi pergaduhan

PADAWAN: Seorang peniaga kedai runcit berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung seorang lelaki yang cedera diserang sekumpulan lelaki di sebuah kedai kopi di Kota Sentosa pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek ditangkap sekitar jam 3 petang di perkarangan pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan, Batu 18, Jalan Kuching-Serian, semalam.

Menurutnya kejadian berlaku selepas mangsa, 52, dan isteri berjumpa dengan suspek dan bapa mertuanya di kedai tersebut bagi menagih hutang sebelum suspek dikatakan memanggil kawan-kawanya untuk memukul mangsa menggunakan besi dan kayu.

“Ekoran kejadian mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tangan sebelah kiri.

“Kereta milik mangsa iaitu sebuah Toyota Hilux turut rosak dan cerminnya pecah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya hasil soal siasat, suspek tidak mengaku ada memanggil orang untuk memukul dan berhutang dengan mangsa serta tidak mengenali individu yang memukul mangsa ketika kejadian.

Tambah Aidil, suspek bagaimanapun mendakwa mangsa telah dipukul oleh pelanggan yang minum di kedai kopi tersebut kerana marah dengan cara mangsa bercakap dan bertindak agresif.

“Suspek hanya mengaku mengenali pengadu kerana urusan perniagaan barangan runcit.

“Kali terakhir suspek berurus niaga dengan pengadu adalah pada Disember 2020 dan kesemua urusan perniagaan telah dibayar menggunakan cek,” jelasnya.

Dedahnya, semakan rekod mendapati suspek pernah terlibat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Aidil, saksi kejadian mengatakan beliau melihat lebih kurang 10 lelaki yang tidak dikenali telah datang lalu memukul mangsa dan keretanya menggunakan senjata.

Katanya suspek telah direman hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan.