KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga mengalami kerugian RM252,150 selepas ditipu oleh sindiket yang menawarkan tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, berkata pada 23 Disember lepas, wanita berusia 47 tahun itu dihubungi oleh suspek yang menawarkan peluang untuk menjadi vendor pembekal jubah konvo dan pakaian seragam untuk sebuah kampus cawangan universiti di negeri ini.
Beliau menjelaskan bahawa suspek, yang juga seorang wanita, memujuk mangsa untuk berhubung dengan anggota sindiket lain yang kononnya merupakan pembekal vendor terdahulu bagi mendapatkan bekalan pakaian tersebut.
“Peniaga itu bersetuju untuk menerima tender berkenaan setelah melihat sebut harga yang diberikan, dan membuat lima transaksi bayaran ke lima akaun berbeza bagi pembelian barangan menggunakan wang syarikat berjumlah RM252,150,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli menambah bahawa peniaga itu hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan pihak berkaitan. — BERNAMA



