ARTIKEL

Gambar Hiasan

Penjawat awam terima kenaikan gaji pertama hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hari ini menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah skim tersebut.

Sebahagian daripada mereka meluahkan rasa gembira dan bersyukur, serta berterima kasih kepada Kerajaan MADANI atas pelaksanaan pelarasan gaji ini, yang dilakukan selepas 12 tahun tanpa semakan.

Seorang penjawat awam, Desmi Hartati Anuar, menyifatkan pelarasan gaji tersebut sebagai rezeki buat anak pertamanya setelah hampir 15 tahun menanti untuk bergelar ibu.

“Anak saya lahir pada 19 Ogos 2024, dan hari ini genap usianya empat bulan. Suami saya juga seorang penjawat awam, dan kami berharap dapat menambah simpanan pendidikan anak kami,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru berusia 42 tahun itu turut berharap kenaikan gaji tersebut dapat meringankan beban kewangan bulanan keluarganya, terutama selepas pembelian rumah baru-baru ini.

Bagi Netty Muhalizza Mohd Fadzil, pelarasan gaji itu dianggap tepat pada masanya, terutama bagi penjawat awam yang mempunyai anak yang sedang bersekolah.

“Minggu depan cuti sekolah bermula, jadi ramai ibu bapa mungkin perlu membuat persediaan untuk sesi persekolahan baharu Januari nanti. Selain itu, pasti ada juga yang merancang persiapan hari raya,” kata kakitangan di sebuah universiti awam itu.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran di laman Facebook menyatakan bahawa pelarasan gaji ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan serta memastikan kelangsungan hidup penjawat awam dalam era yang semakin mencabar.

“Dengan kenaikan ini, diharap kita semua tidak meningkatkan gaya hidup, sebaliknya mengurangkan komitmen sedia ada dan berbelanja secara berhemah. Lebihan gaji boleh digunakan untuk menggembirakan ahli keluarga,” menurut kenyataan kesatuan itu.

Penjawat awam turut berkongsi keterujaan mereka menerima kadar gaji baharu melalui pelbagai hantaran di media sosial.

“Selamat pagi gaji SSPA. Ada manis,” kata Hilary Brody di laman Facebooknya.

“Alhamdulillah… terima kasih Kerajaan MADANI. Selain penjawat awam naik gaji, orang pencen pun naik juga kadar pencennya,” kata Zairi Suboh dalam laman Facebooknya.

Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional yang memilih skim berkenaan akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa, iaitu lapan peratus untuk Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.

Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), mereka akan menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus, dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU