Penjual judi dalam talian diberkas polis

KUCHING: Seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai penjual judi dalam talian telah ditahan oleh sepasukan polis dalam satu serbuan di sebuah kedai runcit di Batu 7, Kota Sentosa semalam.

Serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Padawan sekitar jam 4.45 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 20 tahun tersebut mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian.

Tambah Aidil, seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM 152 turut dirampas pada serbuan tersebut.

“Suspek yang ditahan direman hari ini manakala barang rampasan telah diserahkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat,” jelasnya.

Sementara itu, Aidil memberitahu, anggotanya turut menjalankan pemeriksaan pada dua buah premis di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian.