ARTIKEL

Penganjur bersama-sama juara dan naib juara kategori C.

Pentas Baharu Martabatkan Identiti Warisan Etnik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Keanggunan, keyakinan serta kecintaan warisan budaya tempatan membawa Yasmin Soffiya muncul sebagai juara kategori C (12 hingga 17 tahun) dalam pertandingan akhir Miss Heritage Sarawak yang berlangsung meriah di pusat beli-belah Plaza Merdeka baru-baru ini.

Kejayaan gadis remaja tersebut diraih menerusi persembahannya yang memukau dengan busana istimewa Warisan Kalunan: Echoes of the Sacred River, hasil ciptaan pereka berbakat bumiputera, Jun Udan.

Juara bagi tiga kategori merakam gambar bersama-sama penganjur.

Penampilan yang sarat dengan elemen budaya Orang Ulu itu berjaya mencuri perhatian para juri dan penonton, sekali gus membuktikan bahawa warisan budaya tempatan mampu diketengahkan dalam bentuk fesyen moden yang elegan dan berprestij.

Busana yang diperagakan oleh Yasmin diinspirasikan daripada kekuatan, keindahan dan kekayaan budaya masyarakat Orang Ulu yang diwariskan dari satu generasi ke generasi. Lebih daripada sekadar gaun malam kontemporari, rekaan tersebut menjadi simbol penghormatan identiti budaya yang terus hidup dan berkembang mengikut arus zaman.

Tiga terbaik kategori A.

Mengambil ilham daripada aliran sungai yang menjadi nadi kehidupan serta penghubung komuniti Orang Ulu sejak sekian lama, rekaan tersebut menampilkan gabungan harmoni antara elemen tradisional dengan moden.

Sulaman manik yang halus berasaskan motif etnik Orang Ulu menghiasi keseluruhan busana dengan penuh teliti, melambangkan perpaduan, ketahanan dan hubungan erat antara manusia dengan alam sekitar serta warisan nenek moyang.

Tiga terbaik kategori A.

Siluet gaun yang anggun dan mengikut bentuk tubuh menyerlahkan penampilan Yasmin di atas pentas. Setiap langkah yang diatur memperlihatkan kehalusan seni pertukangan serta keunikan budaya yang menjadi identiti masyarakat Orang Ulu. Keupayaannya menghayati dan menyampaikan makna di sebalik rekaan tersebut turut memberikan nilai tambah yang besar dalam penilaian pertandingan.

Kemenangan Yasmin berjaya mengangkat martabat budaya Orang Ulu ke pentas yang lebih luas. Persembahannya yang penuh karisma membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Tiga terbaik kategori C.

Pertandingan Miss Heritage Sarawak yang julung kali diadakan ini menampilkan konsep kebudayaan tulen yang digabungkan dengan sentuhan moden. Acara tersebut berjaya menarik perhatian pencinta seni budaya dan fesyen tanah air, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha mempromosikan warisan etnik Sarawak kepada masyarakat umum.

Menurut Pengurus AI Dot Com Management, Awg Amirul Hafizan, pertandingan berkenaan merupakan cetusan idea sepenuhnya daripada pihak penganjur yang bertujuan untuk memartabatkan khazanah budaya Sarawak melalui platform peragaan generasi muda.

Persembahan pembukaan tirai.

Lebih membanggakan, acara berskala besar itu dianjurkan sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa sebarang sokongan kewangan luar.

Beliau menjelaskan bahawa antara kelainan utama yang diketengahkan dalam pertandingan ini ialah konsep kontemporari tanpa menggabungkan elemen daripada pelbagai etnik dalam satu persalinan.

Persembahan tarian daripada adik Zarazulaika Syahid Akmal.

“Kami mahu mengangkat keaslian identiti setiap kaum. Setiap busana memberi fokus sepenuhnya kepada satu suku etnik yang diterjemahkan dalam bentuk rekaan moden dan elegan,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak selepas tamat pertandingan tersebut.

Tambah Amirul, seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada tiga kategori umur, iaitu kategori A (4 hingga 7 tahun), kategori B (8 hingga 11 tahun) dan kategori C (12 hingga 17 tahun).

Barisan juri.

“Proses pemarkahan dijalankan secara menyeluruh dan ketat melibatkan pelbagai aspek, termasuk keindahan busana, mutu peragaan, tahap kreativiti, kekuatan sinopsis yang menepati tema, undian awam, tata rias wajah dan rambut serta aura keseluruhan peserta ketika berada di atas pentas.

“Cabaran terbesar dalam penganjuran acara tersebut ialah pemilihan panel juri yang berpengalaman dan berkredibiliti. Juri yang dilantik terdiri daripada individu yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pakaian tradisional dan industri bakat bagi memastikan proses penilaian berlangsung secara adil, telus dan bebas daripada sebarang unsur prejudis,” ujarnya.

Detik penuh debaran, pengumuman juara dan naib juara kategori C.

Pihak penganjur berharap pertandingan ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan korporat bagi membolehkannya berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

Mereka turut menyasarkan agar Miss Heritage Sarawak mampu menjadi acara berprestij yang setanding dengan pertandingan kebudayaan terkenal di Borneo seperti Unduk Ngadau dan Mr Kaamatan.

Juara kategori C bersama-sama ketua juri yang lebih dikenali dengan nama Andini Diman Tailor.

Berikut merupakan senarai pemenang rasmi Grand Final Miss Heritage Sarawak. Bagi kategori A, gelaran juara dimenangi oleh Aaira Inara, diikuti Nurain Mikayla sebagai naib juara dan Airel Mikhael di tempat ketiga.

Dalam kategori B pula, Cinta Izzara muncul juara, manakala Nia Ramadhani dan Zara Amanda masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori C, Yasmin Soffiya dinobatkan sebagai juara, diikuti Sarafina Arisya sebagai naib juara dan Nur Adzwiesya di tempat ketiga.

BERITA LAIN

FIA puas hati persiapan Sepang

PERSIAPAN menghadapi Grand Prix Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini mendapat penilaian positif daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa

Lewis Hamilton miliki Ferrari F40 idaman

Dunia Automotif LEWIS HAMILTON akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sejak zaman kanak-kanak apabila berjaya memiliki sebuah Ferrari F40, kereta ikonik yang disifatkannya sebagai kenderaan idaman

BERITA TERBARU