SEPTEMBER depan pastinya menjadi bulan yang dinantinantikan penduduk Betong dan Sri Aman. Selepas Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 singgah di Bahagian Sarikei minggu ini, jelajah program itu akan beralih ke Betong dan Sri Aman dengan harapan membawa lebih banyak kejutan, pengisian menarik serta peluang kepada rakyat untuk menikmati pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Jika di Sarikei pengunjung dihangatkan dengan cabutan E-Peraduan Kod QR yang menawarkan hadiah utama berupa jongkong emas seberat 20 gram bernilai kira-kira RM15,000, ada persoalan yang mula bermain dalam fikiran ramai.
Apakah kejutan yang bakal menanti pengunjung di Betong dan Sri Aman nanti?
Selain jongkong emas itu, sebanyak 82 hadiah lain turut disediakan termasuk motosikal, pakej percutian dua malam ke Jakarta, televisyen pintar 60 inci serta pelbagai hadiah barangan elektrik dan barangan bernilai lain.
Hakikatnya, hadiah lumayan hanyalah pemanis kepada objektif sebenar SKS.
Program ini diwujudkan bukan semata-mata untuk menarik kehadiran orang ramai, sebaliknya menjadi medium terbaik bagi menyampaikan maklumat kerajaan secara terus kepada rakyat serta memudahkan mereka mendapatkan pelbagai perkhidmatan tanpa perlu mengunjungi banyak pejabat.
Menariknya, penyertaan dalam E-Peraduan Kod QR juga tidak rumit.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan, mendaftar dan menjawab beberapa soalan berkaitan maklumat yang dipamerkan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Pendekatan itu bukan sahaja menjadikan lawatan lebih interaktif, malah memastikan setiap peserta benar-benar memahami maklumat yang disampaikan sebelum layak menyertai cabutan bertuah.
“Bukan sekadar menggalakkan penyertaan pengunjung, kaedah ini turut mendorong masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai dasar, inisiatif serta bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Pendekatan berasaskan teknologi digital ini juga mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan penyampaian maklumat secara lebih moden, pantas dan mesra pengguna.
Dalam era ledakan maklumat hari ini, penyampaian secara bersemuka masih mempunyai nilai yang tinggi.
Ramai rakyat, khususnya di luar bandar, lebih selesa mendapatkan penjelasan secara terus daripada pegawai kerajaan berbanding hanya membaca maklumat di media sosial atau laman sesawang.
Atas sebab itulah, SKS terus relevan. Lebih penting, program ini menggariskan tiga matlamat utama yang menjadi teras penganjurannya.
Pertama, mendekatkan rakyat dengan kerajaan melalui peluang berurusan secara terus dengan pelbagai agensi tanpa perlu pergi ke bandar besar.
Bagi penduduk luar bandar, perjalanan ke bandar utama lazimnya memerlukan kos pengangkutan yang tinggi, selain mengambil masa yang panjang.
Apabila pelbagai agensi kerajaan turun padang ke kawasan mereka, urusan menjadi jauh lebih mudah dan menjimatkan. Kedua, memperluas penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Melalui SKS, masyarakat boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan pendidikan, khidmat kebajikan, peluang keusahawanan, khidmat nasihat serta pelbagai urusan berkaitan agensi kerajaan di satu lokasi.
Konsep “pusat sehenti” seperti ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Ketiga, memperkukuh hubungan antara Kerajaan Sarawak dengan rakyat. Hubungan yang erat tidak boleh dibina hanya melalui kenyataan media atau hebahan dalam talian.
Ia perlu diperkukuhkan menerusi interaksi secara bersemuka, sesi dialog serta peluang kepada rakyat untuk mengemukakan pertanyaan, cadangan dan aduan secara terus. Inilah kekuatan utama SKS.
Di Sarikei misalnya, sebanyak 141 perkhidmatan disediakan membabitkan penyertaan 45 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Jumlah itu menggambarkan skala penganjuran yang besar serta komitmen kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang diperlukan.
Menurut Len Talif, SKS Sarikei turut dirasmikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, penganjuran kali ini menampilkan konsep yang lebih segar dengan pengisian lebih menarik, mesra rakyat serta susun atur tapak yang lebih sistematik. SKS katanya, bukan lagi sekadar himpunan reruai pameran.
Sebaliknya, ia berkembang enjadi platform interaktif yang membolehkan rakyat memahami dasar kerajaan, mengetahui peluang yang ditawarkan serta mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara terus daripada pegawai bertugas.
Beliau turut yakin pengunjung dari seluruh Bahagian Sarikei dan kawasan berhampiran akan menikmati pengalaman yang berbeza menerusi konsep baharu penganjuran serta pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee menjelaskan, SKS diwujudkan bagi memudahkan rakyat memperoleh maklumat, penjelasan dan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu berurusan di pelbagai lokasi.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan penerangan mengenai pelbagai inisiatif utama Kerajaan Sarawak termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), JobSarawak, program pembangunan usahawan, bantuan kebajikan, peluang pendidikan serta perkembangan projek pembangunan di Bahagian Sarikei.
Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan seperti pembayaran bil utiliti, khidmat nasihat daripada jabatan dan badan berkanun, pemeriksaan kesihatan percuma, penyaluran aduan melalui kaunter TaliKhidmat, sesi temu duga terbuka bersama majikan serta pengambilan anggota Askar Wataniah.
Pendek kata, satu lawatan ke SKS membolehkan seseorang menyelesaikan pelbagai urusan yang kebiasaannya memerlukan kunjungan ke beberapa pejabat kerajaan yang berbeza.
Lebih menarik, SKS bukan hanya menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan.
Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Antaranya ialah Sarikei Kitchen and Sales yang mengetengahkan produk usahawan tempatan, larian ria, berjalan santai, senamrobik, sukan rakyat, pertandingan e-sukan, aktiviti kanak-kanak, demonstrasi masakan, Malam Budaya Sarawak serta Konsert Rakyat yang menampilkan artis tempatan dan artis tanah air.
Gabungan elemen perkhidmatan kerajaan, pendidikan, hiburan, sukan dan keusahawanan menjadikan SKS sebuah program yang mampu menarik kehadiran seluruh keluarga.
Ia bukan lagi sekadar acara rasmi kerajaan, sebaliknya sebuah festival komuniti yang menghubungkan rakyat dengan pelbagai peluang pembangunan.
Bagi penduduk Betong dan Sri Aman pula, debaran kini semakin terasa.
Selepas Sarikei, jelajah SKS akan singgah di kedua-dua bahagian itu sebelum meneruskan perjalanan ke Serian, Kota Samarahan dan seterusnya menutup tirai di Kuching pada penghujung November.
Sudah pasti ramai berharap kejayaan dan kemeriahan yang tercipta di Sarikei akan diteruskan di Betong dan Sri Aman, malah mungkin dengan lebih banyak pengisian baharu, hadiah yang lebih menarik serta penyertaan agensi yang lebih meluas.
Yang pasti, nilai sebenar SKS bukan terletak pada hadiah cabutan bertuah atau persembahan pentas semata-mata. Kekuatan program ini ialah keupayaannya membawa kerajaan lebih dekat kepada rakyat, memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan serta membina hubungan yang lebih erat antara pentadbiran dan komuniti.
Dalam dunia yang semakin digital, sentuhan secara bersemuka masih mempunyai tempat yang istimewa.
SKS membuktikan bahawa penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi juga kesediaan untuk turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan.
Justeru, kepada penduduk Betong dan Sri Aman, bersedialah menyambut ketibaan SKS 2026. Siapa tahu, selain membawa pulang ilmu, maklumat dan pelbagai manfaat daripada perkhidmatan kerajaan, anda juga mungkin menjadi individu bertuah yang membawa pulang hadiah utama.



