PENGANJURAN dua acara berprestij, iaitu Kejohanan Futsal Terbuka Piala KBPD (Kategori Lelaki) dan Kejohanan Futsal Piala Laser Light (Kategori Wanita) di Pusat Sukan Riveria, Debak, Betong, baru-baru ini amat bertepatan.
Hal ini bukan sahaja dilihat sebagai landasan terbaik untuk memberikan peluang kepada pemain mengetengahkan bakat mereka, malah turut berperanan sebagai wadah untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan bola sepak lima sebelah itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Saribas Datuk Mohd. Razi Sitam menegaskan bahawa langkah yang diambil oleh jawatankuasa pengelola dalam menganjurkan kedua-dua kejohanan itu amat bertepatan.
“Langkah ini amat baik kerana menerusi penganjuran dua kejohanan itu, kita percaya banyak bakat baharu dapat dikenal pasti,” katanya ketika diminta Arena Suara Sarawak mengulas mengenai perkara itu.
Menurut Razi, pasukan yang bertanding dalam kedua-dua kategori turut mempertaruhkan pemain berbakat, terutama dalam kalangan remaja, sepanjang tiga hari kejohanan itu berlangsung.
Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kejohanan itu berpotensi melahirkan bintang baharu yang akan berjaya menempa nama di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
“Kita berharap usaha tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Hal ini kerana, bermula dari peringkat seperti ini, bakat pemain muda dapat dikenal pasti,” jelas beliau.
Pengerusi Kejohanan, Saiful Hanizam Suhaini berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
Menurut Saiful, tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin kedua-dua kejohanan itu dapat berlangsung dengan jayanya.
“Pihak kami amat berharap kerjasama yang terbentuk ini dapat dikekalkan pada masa datang,” ujar Saiful.
Katanya, beliau mewakili jawatankuasa penganjur amat terharu melihat sokongan yang diberikan oleh semua pasukan yang bertanding.
“Terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang diberikan.
“Besar kemungkinan kita akan menganjurkan kejohanan serupa pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar,” ujar Saiful.
Menurut Saiful, objektif penganjuran kejohanan itu adalah untuk menjadi medium yang dapat merapatkan hubungan silaturahim semua pihak.
“Paling penting kejohanan ini membolehkan pemain bersua muka dengan rakan lama,” katanya.
Sementara itu, kehebatan pasukan Scarlow FT dan Ei8ht United nyata sukar ditandingi apabila masing-masing bergelar juara dalam kategori yang dipertandingkan.
Scarlow FT muncul juara bagi kategori lelaki (Piala Kelab Belia Pekan Debak) selepas menumpaskan pasukan Bawah Bayu dengan jaringan 2–1 dalam aksi akhir yang berlangsung rancak.
Kejayaan itu membolehkan pemain Scarlow FT membawa pulang wang tunai RM2,000, beserta piala dan pingat.
Sementara itu, pasukan Bawah Bayu selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM1,000, termasuk piala dan pingat.
Sementara itu, Ei8ht United dinobatkan sebagai juara kategori wanita (Piala Laser Light) selepas menumpaskan Tidal Bore dengan keputusan 1–0 di gelanggang yang sama.
Ekoran kejayaan itu, pemain Ei8ht United menerima wang tunai RM1,200, piala, dan pingat, manakala pemain Tidal Bore selaku naib juara menerima wang tunai RM700, piala, dan pingat.
Dalam pada itu, pasukan Tz FT dan Loy69 FT yang tewas di peringkat separuh akhir masingmasing menerima wang tunai RM500 dan pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama dalam kategori lelaki.
Selain itu, wang tunai RM300 masing-masing diterima oleh pasukan SSC Kuching A dan Tibak Baok yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama dalam kategori wanita.



