Oleh Roosfa Hashim
Penterjemah, ahli akademik, pengkaji dan mahasiswa dalam bidang penterjemahan, penerbit dan editor, penulis dan sasterawan bakal bertemu dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-19 akan berlangsung selama tiga hari mulai 24 hingga 26 Mei ini. Persidangan dwitahunan itu akan memberikan tumpuan kepada tema ‘penterjemahan global untuk kesejahteraan sejagat’.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjadi tuan rumah PPA-19 yang akan berlangsung di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur. Turut bergabung tenaga dalam penganjuran kali ini ialah Penerbit UIAM, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat (DLIS), UIAM.
Sebanyak 4 kertas dasar, 5 kertas plenari dan 32 kertas kerja dalam sidang selari akan dibentangkan dalam persidangan ini. Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) yang juga dikenali sebagai International Conference on Translation (ICT) pertama kali dianjurkan pada tahun 1984 dengan inisiatif Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kesedaran terhadap pentingnya penterjemahan sebagai wahana dalam usaha pemindahan ilmu yang utama bagi membina kemajuan negara dan bangsa.
PPA merupakan mercu tanda yang dikenali oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang penterjemahan, di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Persidangan dwi tahunan ini merupakan satu-satunya persidangan penterjemahan yang dianjurkan di Malaysia untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri penterjemahan.
PPA-19 berusaha mengangkat peranan penterjemahan dalam mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan global. Ini juga akan menjadi medium bagi menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman dalam bidang pelatihan penterjemahan yang akan membawa kepada kecemerlangan akademik dan kerjasama pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, para melalui pelbagai kertas kerja yang dibentangkan, peserta akan terlibat dalam wacana intelektual dan profesional bagi membincangkan isu, perspektif, teori, teknik serta amalan terkini, penyelidikan dan pengiktirafan dalam bidang penterjemahan.
Platform seperti ini juga akan membuka ruang kepada penemuan baru dan pendekatan alternatif dari aspek teori dan aplikasi penterjemahan dan interpretasi. Pertemuan mereka yang terlibat dalam pelbagai aspek penterjemahan ini akan dapat mempererat dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan penterjemah dan penerbit dalam dunia akademik dan profesional.
Pelbagai topik akan dibincangkan dalam PPA-19 termasuklah tentang Teknologi terjemahan Bahasa Melayu, Islamisasi ilmu melalui terjemahan, Konsep Sejahtera,Semiotik, Isu etika dalam penterjemahan termasuk kesilapan terjemahan serta pelbagai isu dalam pembinaan sumber manusia dalam bidang ini.
Selain daripada itu, terdapat pelbagai sub tema yang akan disentuh dalam PPA-19 ini termasuklah tentang Penterjemahan dan Media, Intrepretasi dan Pengantarabangsaan, Penterjemahan Syariah dan Undang-undang, Penterjemahan Ekonomi Islam, Penterjemahan Industri Halal, Penterjemahan Penerbitan Ilmiah dan Teknologi Penterjemahan Terkini.
Para peserta persidangan akan amat bernasib baik kerana akan dapat mendengar pembentangan beberapa kertas dasar daripada pemuka dalam bidang penterjemahan. Kertas dasar pertama dengan judul ‘Penterjemahan Global untuk Kesejahteraan Sejagat’ akan di bentangkan oleh Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak Rektor, Rektor UIAM. Beliau juga akan merasmikan persidangan ini.
Selepas itu peserta akan dapat mengikuti satu lagi isu yang penting iaitu tentang, ‘Kerangka Pentauliahan Penterjemah di Malaysia’ yang akan diperkatakan oleh pembentang kertas dasar kedua, Dr Hasuria Che Omar, Timbalan Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM).
‘Peranan Terjemahan Dalam Menyemarakkan Budaya Ilmu’ akan menjadi tajuk pembentangan kertas dasar oleh En. Sakri Abdullah Pengarah Urusan, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Tajuk beliau ini bertepatan dengan dasar kerajaan sekarang yang ingin mewujudkan sebuah masyarakat madani yang akrab dengan budaya ilmu pengetahuan.
Beberapa kertas plenari akan ikut menyegarkan perbincangan dalam PPA-19. Prof. Dr. Ahmad Faris bin Ismail Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) UIAM akan menumpukan perbincangan beliau tentang pelbagai cabaran baharu dalam penterjemahan di peringkat global sekarang.
Selanjutnya Prof. Dr. Mohammed Zeki Khedher, Presiden, Institut Pengkomputeran Antarabangsa untuk Quran dan Sains, mantan Professor di Universiti Mosul dan Universiti Jordan akan bercakap tentang penterjemahan mesin dalam perkhidmatan sumber-sumber Islam.
Professor Claudia V. Angelelli, Pengerusi Kepelbagaian Bahasa dan Komunikasi, Herriot-Watt University, pula akan memberi fokus kepada aspek etika dalam penterjemahan. Seorang lagi pembentang antarabangsa ialah Alison Rodriguez, Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa yang berpangkalan di Perancis. Tajuk perbincangan beliau ialah Narratives vs new ChatGPT: necessary or just ‘nice to have’?
Seorang lagi pembicara antarabangsa ialahProf. Dr. Omar Hasan Kasule, Ketua Setiausaha Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT). Persidangan Penterjemahan akan datang bakal berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2025. Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS dijadualkan menyampaikan ucapan penerimaan tuan rumah PPA-20 pada hari terakhir persidangan ini.






