PADA 7 April 1948, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan dan memainkan peranan penting dalam mengawal isu kesihatan global.
Sebelum penubuhan WHO, dunia menghadapi pelbagai krisis kesihatan global, seperti pandemik infl uenza 1918, wabak cacar, dan malaria, yang merupakan ancaman besar kepada manusia pada masa itu.
Penubuhan WHO adalah salah satu usaha antarabangsa untuk menangani isu kesihatan global, memandangkan tiada organisasi khusus yang bertanggungjawab menguruskan kesihatan secara menyeluruh di peringkat dunia.
Namun, sebelum itu, Organisasi Kesihatan Liga Bangsa-Bangsa (LNHO) telah ditubuhkan selepas Perang Dunia Pertama. Walau bagaimanapun, LNHO gagal mencapai objektifnya kerana berlakunya Perang Dunia Kedua pada 1939.
Seterusnya, China dan Brazil mencadangkan penubuhan sebuah badan kesihatan antarabangsa yang mempunyai peranan lebih besar berbanding LNHO. Cadangan ini dikemukakan semasa persidangan San Francisco, ketika Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dibentuk. Pada 1946, draf perlembagaan WHO dirangka, yang memperkenalkan prinsip utama WHO iaitu “kesihatan adalah hak asasi manusia”.
WHO akhirnya ditubuhkan pada 7 April 1948 setelah mendapat pengesahan 26 negara anggota pertama. WHO berjaya menghapuskan penyakit pertama, iaitu cacar (smallpox), sepenuhnya melalui usaha vaksinasi global dan kerjasama antarabangsa yang berterusan.
Selain itu, WHO turut memainkan peranan penting menangani pandemik.
Setelah yang kita lalui semasa COVID-19, jelas terlihat usaha untuk melaksanakan vaksinasi global serta memberikan peringatan kesihatan secara berterusan.
Sehubungan dengan itu, WHO terus menjadi peneraju dalam kesihatan global dengan memastikan semua orang mempunyai akses kepada maklumat kesihatan yang sahih dan perkhidmatan perubatan yang diperlukan.



