PAKAN: Seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pakan–Julau di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati lori berkenaan sedang bergerak dari arah Bintangor menuju ke Pakan ketika kejadian berlaku berhampiran Simpang Wak itu.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal jenis Honda Wave yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan lori berkenaan.
“Akibat tindakan itu, motosikal terbabit melanggar bahagian kiri tayar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perlanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pakan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






