Penyeludupan hidupan liar berleluasa

Penyeludupan hidupan liar dikatakan perdagangan haram ketinga paling bernilai  di dunia, selepas dadah dan senjata api.

Setiap tahun, haiwan ditangkap secara haram dan dibunuh untuk dijual sebagai makanan, haiwan peliharaan, pakaian, perubatan dan perhiasan.

Amalan eksploitasi ini mengancam kelangsungan hidup spesies terancam. Ia bukan hanya berisiko kepada spesies badak, harimau dan gajah, malah perdagangan hidupan liar tidak lestari dan haram memberi impak kepada pelbagai spesies haiwan lain.

Isu penyeludupan ini bukan hanya dihadapi di Malaysia tetapi secara global mengancam pelbagai spesies seperti burung eksotik, penyu, batu karang, tenggiling dan banyak lagi.

Sejak 1970, secara purata populasi ribuan spesies haiwan di seluruh dunia telah menurun sebanyak 60 peratus, menurut Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).

Kemusnahan habitat, perubahan iklim dan pencemaran menjadi punca yang memacu kepada kerugian tersebut.

Tidak dinafikan, Malaysia adalah antara negara Asia Tenggara yang menjadi tumpuan pemburu haram kerana mempunyai spesies haiwan terpelihara seperti Harimau Malaya, Harimau Akar, Harimau Kumbang, Gajah serta beruang mentari selain dakwaan penguatkuasaan yang lemah.

Memetik kenyataan WWF, kemiskinan melampau menyebabkan sesetengah orang melihat hidupan liar sebagai sistem barter berharga untuk perdagangan.

Nilai Tinggi

Bayangkan sahaja, harga seekor Harimau Malaya dianggar bernilai RM600,000 (AS$145,101) hingga RM1 juta (AS$241,895) di pasaran gelap, menurut laporan Perhilitan Malaysia.

Manakala tanduk badak juga mempunyai nilai tinggi dan satu kilogram boleh mencecah sehingga AS$ 60,000 (RM247,140).

Oleh itu, tidak hairan pemburu haram berlumba-lumba mendapatkan hidupan liar ini demi mengaut keuntungan dan demi kepentingan mereka sendiri.

Selain itu, faktor rasuah, undang-undang tidak kukuh, sistem kehakiman yang lemah dan hukuman ringan menjadikan rangkaian jenayah hidupan liar berleluasa.

Kebanyakan perdagangan ini berlangsung tanpa dikesan dan oleh itu sukar untuk memastikan jumlah hidupan liar haram yang dihantar dan dijual di seluruh dunia.

Faktor-faktor ini menjadikan perdagangan hidupan liar haram ini menjadi satu perniagaan berisiko rendah dengan pulangan tinggi.

Malah di Vietnam, mitos baru-baru ini mengatakan bahawa tanduk badak boleh menyembuhkan penyakit kanser.

Untuk itu, permintaan itu telah mendorong pemburuan besar-besaran di Afrika Selatan dan harga tanduk badak melonjak menjadi saingan kepada emas.

Dengan itu tanduk badak, gajah gading dan produk harimau terus mencatat harga tinggi dalam kalangan pengguna, terutama di Asia.

Isu Penyeludupan

Baru-baru ini, dunia heboh dengan penemuan tujuh bangkai harimau beku dan 55 tanduk badak yang diseludup ke negara Vietnam.

Media antarabangsa melaporkan suspek utama penyeludupan haiwan liar berjaya ditahan malah polis Vietnam menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan haiwan liar, susulan penemuan tujuh bangkai beku harimau itu dalam sebuah kenderaan.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa Vietnam turut merampas sebanyak 55 tanduk badak yang disorok dalam balutan plaster di Lapangan Terbang Antarabangsa

This picture from the Vietnam News Agency taken on July 25, 2019 and released on July 27, 2019 shows customs officials at Noi Bai International Airport removing smuggled rhino horn pieces from packaging in Hanoi. – Fifty-five pieces of rhino horn were found encased in plaster casts at an airport in the Vietnamese capital, authorities said on July 28, as the country tries to crack down on sophisticated wildlife smuggling routes. (Photo by Vietnam News Agency / Vietnam News Agency / AFP)

Noi Bai, Hanoi, Khamis lalu. Tanduk seberat 125 kilogram itu ditemui selepas penemuan satu bungkusan menimbulkan keraguan polis yang dipercayai dari Afrika.

Di Malaysia, pada April lalu akhbar nasional turut melaporkan sindiket penyeludupan haiwan liar antarabangsa susulan penangkapan dua pemburu haram rakyat Vietnam dan rampasan organ haiwan bernilai kira-kira RM600,000 (AS$145,101) di Terengganu.

WWF Malaysia meramalkan bahawa haiwan berstatus spesies terancam akan pupus dalam tempoh kurang 10 tahun sekiranya tiada usaha pemuliharaan diambil segera.

Penguatkuasaan

Justeru, pihak berkuasa perlu menggembleng usaha memerangi jenayah ini sehingga ke akar umbi bagi menangani jenayah hidupan liar di rantau ini melalui perkongsian maklumat serta usahasama meliputi agensi kerajaan dan institusi serta agensi lain yang berkaitan.

Bagaimanapun, untuk mengukuhkan lagi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan memerangi jenayah hidupan liar perlulah diberikan keutamaan di peringkat negara, serantau dan global.

Kerjasama pertubuhan sokongan seperti Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Interpol, dan Pertubuhan Kastam Sedunia amat penting bekerjasama dalam menumpaskan jenayah hidupan liar.

Namun demikian, medium paling berkuasa untuk menangani perdagangan hidupan liar yang haram dan tidak mampan adalah dengan memujuk pengguna untuk membuat pilihan yang tepat.

Usaha ini termasuk memberi kesedaran berkaitan hidupan liar kepada orang-orang yang membeli produk, kedai-kedai, pembekal dan pengeluar.

Suara Sarawak