KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hampir semua negeri menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan melebihi hasil cukai yang disumbangkan, kecuali Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau berkata agihan peruntukan dibuat berdasarkan keperluan pembangunan, termasuk projek tebatan banjir, lebuh raya, Jalan Pan Borneo, sistem saliran, pembasmian kemiskinan, sekolah dan infrastruktur, sekali gus menolak dakwaan wujud negeri yang dipinggirkan.
Anwar berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025, Selangor menyumbang hasil cukai RM43.6 bilion dengan perbelanjaan Persekutuan RM15 bilion, manakala Pulau Pinang menyumbang RM10.7 bilion dan menerima RM7.9 bilion.
Beliau berkata negeri lain menerima peruntukan lebih tinggi daripada hasil cukai masing-masing, termasuk Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor, bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Mengenai Sarawak, Anwar berkata rundingan berhubung pemberian khas diteruskan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain menyifatkan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri sebagai pencapaian penting hasil rundingan lapor Bernama.



