Penyulam keringkam diraja

KENANGAN paling manis terukir dalam hidup nenek 88 tahun apa- bila dipeluk Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di hadapan khalayak ramai.

“Baginda mencari saya. Bertanya adakah saya masih hidup dan menjemput saya dalam pertemuan bersejarah itu,”cerita Dayang Siti Saadiah Abang Nor Saleh.

Dalam lawatan singkat Tunku Azizah bersama-sama Agong ke Kuching pada April lalu, Dayang Siti Saadiah, mesra dipanggil Nek Siti, dijemput menghadap baginda di Kompleks Mahkamah Lama.

“Dia memeluk saya, meramas jejari saya dan berkata, inilah jari yang menyulam keringkam benang emas untuk persandingan dan khatamal al-Quran baginda pada 1986.

“Nenek masih menyulam? tanya baginda sambil tangannya terus mengurut jari saya dan mngusap-usap lembut. Saya jawab, tidak lagi kerana sudah tiada kudrat memegang jarum,” cerita Nek Siti.

Orang ramai yang hadir pada majlis itu kata Nek Siti tertanya-tanya, siapa orang tua dipeluk Raja Permaisuri Agong.

Menariknya baginda turut menjemput Nek Siti hadir pada Majlis Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak yang berlangsung di Dun Sarawak pada 6 Julai.

Nek Siti ialah penyulam keringkam terkenal pada era 80-an malah selendang tenunan benang emas sering ditempah oleh Istana Terengganu dan keluarga diraja Brunei.

“Saya masih ingat dengan baik, untuk persandingan dan khatam al-Quran Agong, saya diminta menyiapkan 10 jenis kain pelbagai warna selebar dua meter suku.

“Masa itu, arwah Puan Sri Naemah Hasbi isteri Tan Sri Dr Sulaiman Daud menjadi orang perantaraan. Dan pemilihan bunga dan corak ditentu oleh istana.

“Kain pun istana sedia…dengarnya kain itu dari Itali…jadi saya

kena berhati-hati menyulamnya. Pada masa itu juga harga benang emas sangat murah,” kata Nek Siti.

Nek Siti mewarisi ilmu menenun benang emas daripada arwah ibunya Dayang Zakiah Abang Hassan, penenun songket dan keringkam terkenal era 70-an. Arwah ibu juga mendapat kemahiran menenun dan menyulam daripada ibunya, Dayang Asiah Sulaiman dan neneknya Dayang Mastura.

“Jadi kemahiran ini turun-temurun. Kini saya mewariskan lagi kepada menantu saya Rosnahwati kerana anak saya sendiri sibuk bekerja. Cuma Rosnah tidak bekerja dan sayang, jika tiada yang mewarisi bakat ini, seni keringkam akan terkubur,” katanya.

Cerita menantunya Rosnahwati Abdul Latip, mewarisi bakat menenun bukan mudah kerana dia memerlukan masa untuk belajar melembutkan jari terutama corak yang dimahu pelanggan.

Katanya, akhir 90-an dia pernah membantu ibu mentuanya menyulam cadar atas permintaan istana Terengganu dan permintaan daripada istana Brunei.

“Ibu mengajar bagaimana corak yang diminta istana dan corak yang orang biasa ingini. Biasanya bagi pelanggan biasa, kami menggunakan kain jenis kasa rubia.

“Tetapi biasanya permintaan daripada istana, mereka akan menyediakan sendiri kain dan çorak,” katanya menambah, dahulu ibu mentuanya mengambil upah antara RM10 hingga RM15 untuk panjang setengah depa.

Menariknya, benang yang diguna untuk menyulam keringkam bukan benang emas biasa, sebaliknya diimport dari India pada harga masa kini RM200 bagi panjang yang sama.

“Dulu zaman emak mentua saya cuma dalam berbelas ringgit dan ditenun di atas tempat khas daripada kayu dan besi. Kain pula selalu jenis kapas dan kasa rabia, lebih ringan dan senang disulam.

“Jarumnya harus tembaga, tidak boleh jarum biasa. Seni keringkam memang payah, kena berhati-hati dan memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Keringkam ialah selendang, tudung ataupun skaf tradisional yang dipakai oleh wanita Melayu. Ia menjadi pelengkap busana tradisional masyarakat Melayu yang sering digayakan ketika menghadiri majlis khas seperti majlis perkahwinan juga perayaan besar.

Pada zaman dahulu selendang warisan ini, hanyalah dipakai oleh golongan bangsawan sahaja.

Ia biasanya dijahit dengan benang emas atau perak dan menggunakan motif sulaman bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan seperti bunga tanjung, bunga ros dan pucuk rebung di atas kain jenis bawal atau yang lebih berkualiti kain kasa rubia.

Jenis keringkam dibezakan dengan pendek dan panjang saiznya. Yang bersaiz pendek digelar tudung keringkam tradisional manakala yang bersaiz panjang dikenali sebagai selayah.

Tudung keringkam tradisional adalah pendek, berukuran 54 cm x 95 cm dan dihasilkan dengan menggunakan kain jojet nipis atau sintatik.

Reka bentuk dan sulamannya yang halus menonjolkan hasil seni dengan sedikit sentuhan kemewahan. Tudung keringkam ialah lambang keindahan busana tradisional wanita mempunyai nilai sentimental sehingga hampir setiap keluarga Melayu ada menyimpannya sebagai salah warisan keluarga yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Tudung keringkam juga sering dikenakan golongan wanita bangsawan ketika berada pada majlis rasmi bersama-sama kain songket pada era 60-an.

Tradisi menjahit tudung keringkam kini semakin ditelan zaman kerana generasi lebih tua yang pakar dalam tudung keringkam kini sangat sedikit bilangannya.

Memang agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran terbuka kerana proses penyulaman ini memakan masa cukup lama dan kebiasaannya tempahan dibuat terus daripada individu sememangnya mengusahakannya secara kecil-kecilan di rumah.

Suara Sarawak