Perbetulkan cara membaca

ANDA mencapai sebuah buku dan membaca sambil duduk di kerusi malas.

Tidak sampai lima minit mata sudah mengantuk, tidak semena-mena anda terlelap dengan buku di tangan.

Anda tersentak terjaga apabila buku yang dipegang terlepas dari genggaman.

Senario sebegini biasa dialami? Percayalah anda bukan keseorangan mengalaminya.

Ramai orang tidak dapat menghabiskan buku yang dibaca.

Oleh itu, anda bertanya mengapa dan bagaimana orang dapat membaca sebuah buku sehari?

Bererti orang itu membaca 365 buah buku setahun.

Anda mengambil masa sebulan dan kadangkala lebih untuk menghabiskan buku.

Berubahlah dan betulkan cara pembacaan.

Membaca sebenarnya bergantung kepada tujuan.

Apakah tujuan kita membaca sebuah buku?

Niat ini dapat dibahagikan kepada dua umumnya; mengisi masa lapang ataupun belajar.

Kebanyakan orang tidak mampu menghabiskan sebuah buku sebab tujuan membacanya adalah untuk mengisi masa lapang.

Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita alami, kebanyakan orang mencapai buku untuk mengisi masa lapang.

Buku itu tidak habis dibaca. Masa terluang terbuang begitu sahaja.

Kita yang sedar bahawa masa berlalu tidak akan kembali, dan berazam untuk mengisinya dengan melakukan kerja berfaedah.

Oleh itu, membaca tidak harus untuk mengisi masa lapang. Ini kesilapan terbesar.

Ini tidak pula bermakna mengisi masa sengang dengan membaca tidak berfaedah.

Strategi ini kerap kita gunakan semasa membaca akhbar sama ada bercetak atau dalam talian.

Namun semasa membaca akhbar pun kita mempunyai maksud tertentu.

Objektif paling utama ialah memantau persekitaran.

Dalam musim Covid-19 ini, kita ingin tahu adakah terdapat jangkitan dalam kalangan penduduk sekitar kawasan perumahan.

Pengetahuan ini membolehkan kita berjaga-jaga. Memperbetulkan niat membaca ialah langkah pertama dalam mempercepatkan pembacaan.

Apabila kita membaca untuk belajar, maka perlu ada strategi untuk melakukan aktiviti ini.

Belajar yang saya maksudkan termasuklah pembacaan untuk melakukan sesuatu kajian.

Semasa belajar, kita mencari ilmu atau idea baharu yang terkandung dalam sebuah buku.

Kita yang masih mempunyai anak bersekolah akan mendapati bahawa mereka didedahkan kepada ilmu baharu setiap tahun.

Ilmu ini bertambah sukar dan membina pengetahuan yang telah terkumpul pada tahun-tahun sebelumnya.

Dengan kata lain, konteks perlu ada semasa membaca.

Konteks membolehkan dan memerlukan kita meletakkan ilmu baharu yang ditemui dalam kategori pengetahuan yang sesuai dalam minda.

Pengkategorian sebegini membolehkan kita mengingati apa yang dibaca.

Tanpa ingatan, pembacaan kita sama seperti membaca akhbar.

Apa yang dibaca dalam akhbar pagi tadi, tidak lagi dalam ingatan kita pada tengah hari.

Kebanyakan orang mudah lupa apa yang dibaca.

Mungkin ini sebabnya, ada seorang pemimpin yang acap kali berkata; “Melayu mudah terlupa.”

Betul ke? Yang sebenarnya saya tidak pernah terlupa apa yang dilakukan oleh pemimpin ini.

Mungkin beliau ingin kita melupakan apa yang telah beliau lakukan masa lalu.

Kemampuan mengingati amat penting apabila kita belajar.

Belajar dengan membaca memerlukan kita mengetahui dan meletakkan konteks ilmu itu dalam kategori pengetahuan yang dibina dalam minda.

Bill Gates, jutawan Microsoft berkata; “Semasa membaca kita perlu mempunyai rangka pengetahuan seluas mungkin. Ini memungkinkan kita meletakkan ilmu baharu dalam kerangka sesuai.”

Fokus semasa membaca meningkatkan ingatan.

Fokus memastikan kita mengetepikan sebarang gangguan.

Oleh itu, carilah masa sesuai untuk membaca, iaitu masa kita tidak terganggu oleh sebarang tugasan lain.

Walaupun tidak lagi menjadi pensyarah, saya masih memperuntukkan masa untuk membaca.

Anda sisihkan masa sejam sehari untuk membaca buat permulaan.

Setelah beberapa ketika, anda boleh menyisihkan masa lebih lama.

Yang pasti, buku tebal sekitar 300 halaman yang hendak dihabiskan dalam sehari memerlukan masa lebih daripada sejam.

Sebaiknya peruntukkan masa tiga hingga empat jam sehari untuk membaca.

Untuk mempercepatkan pembacaan, gunakan jari telunjuk kita.

Jari telunjuk menuntun mata dari baris ke baris.

Kita gerakkan jari pada setiap baris teks dan mempercepatkan gerakan jari mengikut keselesaan.

Apabila menggerakkan telunjuk, mata memerhatikan setiap kata di hujung jari.

Namun, kita akan mendapati bahawa mata masih melihat kata yang terletak di sisi kiri dan kanan telunjuk.

Ini disebut penglihatan sisian (peripheral vision). Gunakan kelebihan ini untuk mempercepatkan bacaan.

Pada setiap halaman yang dibaca, gerakkan telunjuk untuk menuntun bacaan di bahagian tengah sahaja.

Teks yang terletak dua sentimeter di sisi kiri dan kanan setiap halaman tidak ditunjuk.

Yang terlepas dari telunjuk, tidak bererti kita tidak membacanya.

Semuanya tertangkap oleh mata, cuma kita tidak fokus kepadanya.

Kita membaca tiga atau lebih perkataan setiap kali. Kita tidak membaca perkataan satu persatu.

Mata kita melompat-lompat semasa membaca dan loncatan ke gugusan perkataan seterusnya ialah kunci membaca dengan cepat.

Bacaan sebegini harus disokong dengan membentuk gambar dalam minda tentang apa yang dibaca.

Menggambarkan apa yang sedang dibaca dapat meningkatkan pemahaman dan seterusnya ingatan.

Kita mudah ingat sesuatu apabila perkara itu berlaku di depan mata. Minda sepatutnya menterjemahkan apa yang dilihat mata dalam bentuk gambar yang memudahkan penghadaman sebarang ilmu.

Elakkan diri daripada membaca dengan kuat.

Baca dengan hati. Menyebut setiap perkataan dalam buku melambatkan pembacaan.

Kita hanya mampu menyebut sekitar 200-250 perkataan seminit. Ini melambatkan bacaan yang sepatutnya sekitar 500-750 perkataan seminit. Bacaan sebegini menjadikannya sebagai aktiviti aktif bukan pasif.

Setelah habis membaca, kita harus membuat catatan ringkas tentang kandungan buku.

Catat dalam buku nota mahupun dalam telefon pintar.

Ia membolehkan kita mengingati kandungan dengan lebih baik. Jika maklumat itu perlu untuk kajian, buat catatan di birai halaman buku bagi memudahkan anda mencarinya semula kelak.