PUTRAJAYA: Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Menurut Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau kira-kira jam 9 pagi. Tarique kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Majlis itu turut dihadiri isteri Tarique, Dr Zubaida Rahman, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anggota Jemaah Menteri, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Selepas menandatangani buku pelawat, Tarique mengadakan pertemuan dengan Anwar sebelum kedua-dua pemimpin mempengerusikan mesyuarat dua hala. Mereka membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian, pendidikan dan semikonduktor.
Kedua-dua negara juga dijadual memeterai kerjasama dalam bidang kebudayaan, antikeganasan dan pelaburan. Pada 2025, nilai perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion. Bangladesh ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan selepas India.



