KUCHING: Wong King Wei tidak bersendirian apabila angkat kaki dari DAP kerana rakyat juga beranggapan perkara yang sama – DAP diselubungi krisis dan hilang kepercayaan daripada pengikutnya.
Itu kata Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (gambar) yang diminta mengulas mengenai tindakan Adun Padungan yang membuat keputusan melepaskan semua jawatan dan keahlian dalam DAP dengan serta-merta pada Ahad lalu.
“Ini menjadi bukti, DAP terus bermasalah terutama selepas Pilihan Raya Umum pada 2018, semakin ramai yang bosan dengan politik DAP. Saya gembira kerana Wong membuktikan wujud tingkah laku yang tidak baik dalam DAP.
“Di mata rakyat, DAP menyeleweng daripada matlamat asal politik. Malah berlaku banyak pengkhianatan dalam parti itu,” katanya di sini, semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu turut menyifatkan tindakan Adun Padungan itu berjaya membuka minda dan persepsi rakyat terhadap DAP.
“Janji dan harapan yang dibuat DAP kepada rakyat dengan jelas gagal direalisasikan. “Saya jujur berpendapat, kita bersetuju dengan apaapa yang ditunjukkan oleh Wong.
“DAP terus menggunakan politik serangan walaupun ketika itu menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah sedangkan bagi Sarawak, kita amat perlukan nilai positif untuk melihat negeri bergerak maju ke hadapan,” katanya.
Dr Sim menambah tindakan DAP menyerang Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Richard Wee juga menandakan perasaan tidak hormat DAP terhadap sumbangan masyarakat Cina di negeri ini.
Katanya, kenyataan menyerang yang dikeluarkan oleh pembantu khas Chong Chieng Jen, Michael Kong juga menimbulkan kebencian dalam masyarakat Cina.
Pada Ahad lalu Wong mengejutkan politik Sarawak apabila mengumumkan keluar daripada DAP dan tidak akan mempertahankan kerusi Padungan dalam PRN-12 kelak.
Beliau juga meletak jawatan sebagai Naib Pengerusi DAP Sarawak, berundur daripada semua jawatan lain dalam parti termasuk sebagai ahli DAP dengan serta-merta. Tindakannya itu dibuat kerana sudah hilang keyakinan malah kecewa dengan mainan politik parti berkenaan.


