BETONG: Pembangunan sukan bola sepak perlu diperhebat bermula daripada pembentukan karakter pemain di peringkat akar umbi dan menyeimbangkan bidang kejurulatihan secara menyeluruh.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Suhordie Abang Zaini menjelaskan, usqha ini sejajar dengan penganjuran Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM/FAS Lesen ‘D’ 2023 yang berlangsung di Betong bermula 18 hingga 23 Disember ini.
Menurutnya, ia langkah yang amat bertepatan bagi mengangkat kembali kegemilangan sukan bola sepak di Negeri Sarawak.
“Jurulatih memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sebuah pasukan.
“Justeru, saya percaya kursus kejurulatihan yang dianjurkan ini dapat menjadi platform untuk melahirkan pemain berbakat dan menyedia pasukan hebat pada masa akan datang,” ujar Abang Suhordie ketika berucap ringkas pada majlis perasmian kursus berkenaan sebentar tadi.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) mengakui kursus enam hari itu dianjur oleh FAS dengan kerjasama BDFA dan disertai 24 orang peserta yang dikendali oleh Wan Jamak Wan Hassan dan Farhan Abdullah.



