ARTIKEL

MEMPERINGATI SEJARAH... Gerawat (duduk tengah) serta tetamu kehormat lain merakam kenangan pada Hari Peringatan Ke-79 Pendaratan Pasukan Khas Unit Z di Bario di Taman Memorial Bario, hari ini.

Peristiwa Pendaratan ‘Z-Force’ di Bario buka dimensi dunia moden kepada masyarakat Kelabit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARIO: Peristiwa Pendaratan Pasukan Khas Unit Z di Bario 79 tahun lalu merupakan detik penting tentang pengorbanan untuk melindungi kebebasan dan keamanan negara demi generasi masa depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata Pasukan Khas Unit Z atau dikenali sebagai ‘Z-Force’ telah memulakan pembebasan Sarawak daripada penjajahan Jepun bermula dari Bario.

Sekali gus, menurutnya, membuka dimensi dunia moden kepada masyarakat Kelabit.

“Bagi kita yang tidak menyaksikan peristiwa 79 tahun lalu itu, sama-sama kita ingat dan renungkan betapa pentingnya peristiwa tersebut.

“Hari ini mengingatkan kita tentang nilai kebebasan, keamanan dan kemajuan.

“Jangan sesekali kita lupa sumbangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang menjadikan Bario dan masyarakat Kelabit seperti sekarang ini.

“Nenek moyang kita menawarkan diri untuk berjuang bersama pasukan ‘Z-Force’ bagi membebaskan negara daripada penjajah.

“Mereka percaya, dalam melindungi kebebasan dan keamanan, mereka bersedia mengorbankan nyawa demi generasi masa depan, iaitu kita hari ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata demikian semasa merasmikan Hari Peringatan ke-79 Pendaratan Pasukan Khas Unit Z di Bario di Taman Memorial Bario, hari ini.

Jelasnya, rakyat dan kerajaan sentiasa memperingati dan menghormati pengorbanan dan keberanian mereka.

“Mereka sangat bersatu dan kuat.

“Justeru, inilah semangat dan sikap yang telah mengekalkan komuniti kecil kita hari ini dengan membantu memajukan kita, walaupun dalam persekitaran yang sangat sukar dengan cabaran besar yang dihadapi.

“Sesungguhnya, komuniti Kelabit berterima kasih kepada anggota pasukan ‘Z-Force’ kerana secara kebetulan membawa dunia moden kepada kita.

“Pendedahan kepada dunia moden dan peperangan ketenteraan barat mewujudkan hala tuju baharu bagi masyarakat kita dan memberi inspirasi kepada kita untuk meneroka dunia yang sebelum itu dianggap tertutup,” ujarnya.

Tambahnya, selepas Perang Dunia Kedua, ramai komuniti Kelabit menyertai pasukan ‘Border Scouts’, tentera dan polis.

“Secara keseluruhan, lebih 300 orang Kelabit yang pernah berkhidmat sama ada di dalam tentera, polis atau ‘Border Scouts’, merangkumi lima peratus daripada jumlah penduduk Kelabit.

“Mereka adalah wira tidak didendang dan salah seorangnya ialah mendiang Sub-Inspektor Ngelinuh Bala, yang pernah dianugerahkan pingat ketenteraan tertinggi negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa atau SP,” katanya.

Gerawat berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Miri dan Rurum Kelabit Sarawak (RKS) yang diketuai Datuk Dr Philip Raja atas penganjuran sambutan tahun ini yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Dave McNamara, mewakili Angkatan Pertahanan Australia dan ahli keluarga wira pasukan ‘Z-Force’.

Beliau turut berharap pihak majlis dapat membantu dalam penyelenggaraan tapak tugu peringatan itu, seterusnya menaik tarafnya dengan membesarkan lagi kawasan dan landskapnya.

“Kawasan ini boleh dinaik taraf menjadi taman yang sesuai untuk aktiviti riadah masyarakat setempat dan pengunjung serta pelancong.

“Setakat ini, saya telah menyalurkan RM120,000 untuk pemulihan monumen, selain naik taraf kawasan termasuk pagar dan kawasan konkrit di sekeliling tugu peringatan,” katanya.

Beliau bersetuju untuk menyumbang kepada sambutan Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Pasukan Khas Unit Z di Bario pada tahun hadapan.

Sementara itu, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong, turut menyumbang RM10,000 kepada RKS.

BERITA LAIN

Pesta Tanglung Mukah 2026 tarik 7,000 pengunjung

MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya. Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada

BERITA TERBARU