Buku How I Became a Broadcast Journalist karya Zaleha Khairene Ismail merupakan memoir yang penuh inspirasi dan membawa pembaca menelusuri perjalanan menarik dalam dunia kewartawanan penyiaran.
Dengan naratif yang jujur dan mengasyikkan, Zaleha berkongsi pengalaman peribadinya — cita-cita awalnya sehingga cabaran dan kejayaan yang membentuk kerjaya profesional.
Buku ini bukan sekadar kisah perjalanan kerjaya, tetapi menjadi panduan kepada wartawan-wartawan muda yang ingin memahami realiti industri ini. Setiap bab dalam buku ini seolah-olah membuka satu babak baharu dalam kehidupan Zaleha.
Beliau berkongsi kisah-kisah di sebalik tabir yang jarang diketahui oleh orang luar.
Pembaca dapat merasai kehangatan suasana bilik berita, ketegangan saat-saat genting ketika membuat liputan langsung, serta cabaran untuk mengekalkan profesionalisme dalam situasi yang penuh tekanan.
Pengalaman bekerja di lapangan, menangani krisis, dan berdepan dengan pelbagai jenis individu menjadikan kisah Zaleha lebih hidup dan penuh pengajaran.
Cerita pengalaman yang dikongsi membuatkan pembaca seolah-olah berada di dalam bilik berita bersamasama beliau.
Merasai sendiri tekanan dan keseronokan membuat liputan berita secara langsung.
Selain mengisahkan kejayaan, Zaleha juga tidak lupa untuk membicarakan kegagalan dan kesilapan yang pernah dilakukan, menjadikan buku ini sangat realistik.
Misalnya, beliau berkongsi tentang saat-saat sukar ketika berhadapan dengan kritikan dan kecaman, serta bagaimana beliau belajar untuk bangkit dan memperbaiki diri.
Melalui pengalamannya yang diselitkan melalui penceritaan di dalam buku tersebut, Zaleha menekankan betapa pentingnya untuk bersikap rendah diri, sentiasa belajar dan berani mengambil risiko dalam kerjaya.
Zaleha juga berkongsi pengalamannya melaporkan peristiwa-peristiwa besar, seperti pilihan raya, bencana alam dan isu kontroversi.
Beliau mengimbau bagaimana peristiwa ini bukan sahaja mengubah perspektifnya terhadap dunia, tetapi juga mengukuhkan tekadnya untuk terus menyampaikan berita yang benar dan berwibawa.
Dalam setiap cabaran yang dihadapi, beliau berjaya mempamerkan dedikasi dan komitmen yang tinggi, sekali gus menjadi inspirasi kepada pembaca.
Salah satu kekuatan buku ini ialah keupayaan Zaleha untuk mengimbangi refl eksi peribadi dengan nasihat praktikal.
Beliau memberikan tip berguna tentang pengucapan awam, cara menangani kritikan dan kepentingan integriti dalam kewartawanan.
Selain itu, gaya penulisannya yang penuh dengan motivasi mendorong pembaca untuk mengejar impian mereka walau apa-apa jua rintangan yang dihadapi.
Perjalanan Zaleha bukan sahaja tentang pencapaian profesional, tetapi juga menyentuh soal pengorbanan peribadi dan keseimbangan yang perlu dikekalkan dalam kerjaya yang begitu mencabar.
Beliau dengan jujur berkongsi tentang saat-saat genting beliau terpaksa memilih antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi — memberikan gambaran jelas tentang realiti sebenar yang jarang diperkatakan.
Buku ini menyerlahkan ketabahan dan keazaman beliau serta menerangkan kualiti yang penting bagi sesiapa yang ingin berjaya dalam dunia kewartawanan penyiaran.
Secara keseluruhannya, How I Became a Broadcast Journalist bukan sekadar kisah kejayaan individu, tetapi juga sebuah karya yang penuh motivasi dan teladan.
Zaleha Khairene Ismail berjaya menyampaikan mesej bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai impian, melainkan melalui usaha keras, ketekunan, dan kesanggupan untuk terus belajar dan beradaptasi.
Saya sebagai wartawan yang mengupas setiap isi di dalam buku ini, How I Became a Broadcast Journalist banyak memberikan ilmu baharu kepada diri saya.
Bukan itu sahaja, buku ini juga sesuai untuk golongan muda yang bercita-cita menjadi wartawan, dan juga kepada sesiapa sahaja yang mencari inspirasi untuk mengatasi cabaran hidup.
How I Became a Broadcast Journalist ialah bacaan yang mampu menyuntik semangat dan membuka minda pembaca kepada dunia kewartawanan.
Ia bukti bahawa di sebalik wajah tenang seorang wartawan, tersembunyi perjuangan yang tidak pernah putus, dan itulah yang menjadikan karya ini begitu istimewa.



