Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman menghadiri Konsultasi Strategik mengenai Perniagaan Bertanggungjawab dan Pembangunan Mampan bagi Program Datuk Bandar Muda (YMP), satu inisiatif yang memberi penekanan terhadap pelibatan bermakna golongan belia dalam tadbir urus tempatan dan pembangunan mampan.
Turut hadir Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramzi Abdillah, wakil United Nations Development Programme (UNDP), pertubuhan masyarakat sivil serta wakil Majlis Komuniti Belia DBKU.
Majlis Komuniti Belia DBKU diwakili Ainna Nazwa Syahirah Ahmad, Asri Hazwan Harun dan Nur Amanina Baihaki.
Pelibatan majlis berkenaan dalam program itu mencerminkan komitmen DBKU menyediakan ruang dan platform kepada golongan belia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan berkaitan tadbir urus tempatan, pembangunan mampan serta isu yang memberi kesan kepada generasi muda.
Penganjuran program tersebut juga selaras dengan usaha DBKU memperkukuh pelibatan komuniti serta memperkasakan generasi muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan Kuching sebagai bandar raya yang penyayang, inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Menerusi Young Mayors Programme, para peserta diharap dapat memperoleh pendedahan lebih luas mengenai tadbir urus tempatan, amalan perniagaan bertanggungjawab dan pembangunan mampan.
Program itu juga diharap dapat meningkatkan keupayaan peserta sebagai pemimpin muda serta ejen perubahan positif dalam komuniti.



