Seramai 20 peserta menyertai Kursus Pembuatan Keropok Lekor anjuran Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dengan kerjasama Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako yang berlang sung di Rumah Wakaf Tanah Perkuburan Islam Bako barubaru ini.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta. Rata-rata peserta menzahirkan keterujaan untuk menimba ilmu baharu serta memperkukuh kemahiran sedia ada dalam penyediaan makanan berasaskan produk tempatan.
Kumpulan peserta ini terdiri daripada Ahli Kumpulan Pelaksana (AKP) dan rakan pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako yang komited untuk membawa perubahan positif kepada komuniti mereka.
Kursus intensif ini dikendalikan oleh fasilitator keropok lekor, Cikgu Anita Idris, iaitu bekas Pengurus Pusat Pemprosesan Hasil Laut LKIM Bintawa, bersama-sama Nurhazimah Hadi dari CENTEXS Lundu.
Bagi memastikan setiap peserta mendapat perhatian dan bimbingan yang secukupnya, sesi pembelajaran tersebut turut dibantu oleh empat pembantu teknikal.
Kehadiran pembantu teknikal ini membolehkan setiap peserta menerima tunjuk ajar secara lebih dekat, merangkumi aspek teori hingga latihan praktikal yang dijalankan di ruang kerja yang disediakan.
MENYUNTIK KEMAHIRAN PERKASA KOMUNITI
Antara objektif utama penganjuran kursus ini ialah memberikan pendedahan menyeluruh serta kemahiran asas kepada peserta mengenai teknik pembuatan keropok lekor yang betul dan berkualiti tinggi.
Pembuatan makanan tradisional seperti keropok lekor sering dianggap mudah. Namun, untuk menghasilkan produk yang mempunyai tekstur kenyal, lembut serta rasa ikan yang seimbang memerlukan teknik yang tepat.
Melalui kursus ini, pelbagai petua dan teknik pembuatan dikongsikan secara terbuka oleh tenaga pengajar. Seiring dengan perkembangan teknologi makanan, kursus ini turut bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta tentang kepentingan pemilihan bahan mentah yang segar.
Penggunaan ikan yang berkualiti bukan sahaja mempengaruhi rasa, malah menentukan jangka hayat produk tersebut. Aspek kebersihan makanan menerusi Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta teknik pemprosesan yang selamat dan teratur turut ditekankan bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan.
Penganjuran program ini juga dilihat sebagai salah satu usaha murni untuk memperkasakan komuniti setempat menerusi peluang menjana pendapatan sampingan.
Memandangkan makanan tempatan seperti keropok lekor mempunyai permintaan yang tinggi dan konsisten dalam pasaran runcit serta sektor pelancongan di Sarawak, kemahiran ini mampu menjadi batu loncatan kepada peserta untuk memulakan perniagaan dari rumah secara kecil-kecilan.
JALINAN UKHUWAH MELALUI PROGRAM ILMU
Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Bako, Awang Majri Awang Rosli, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan bangga atas kelancaran program tersebut. Menurut beliau, aktiviti seumpama ini membawa impak yang besar, khususnya dalam memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli komuniti.
“Program sebegini bukan sahaja memberikan ilmu dan pengalaman baharu kepada peserta, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli pengurusan dan masyarakat setempat.
“Apabila kita berkumpul dan belajar bersama-sama, semangat kerjasama dapat dipupuk dan hubungan silaturahim menjadi lebih erat,” katanya.
Tambah beliau, pihak pengurusan sentiasa menyokong inisiatif yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi penduduk.
“Kami berharap lebih banyak program berbentuk latihan kemahiran dan keusahawanan seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
“Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak CENTEXS atas jalinan kerjasama, sokongan serta sumbangan kepakaran dalam menjayakan kursus ini,” ujarnya.
SEMANGAT KEUSAHAWANAN DISEMAI
Sementara itu, salah seorang peserta, Subeki Ali, menyifatkan kursus berkenaan sebagai inisiatif yang bermanfaat serta memberikan pengalaman baharu kepada para peserta.
Beliau mengakui sebelum ini ramai yang tidak mengetahui teknik dan kaedah yang betul untuk menghasilkan keropok lekor yang bermutu tinggi.
“Saya amat bersyukur kerana terpilih untuk mengikuti kursus ini. Banyak ilmu baharu yang saya pelajari, terutamanya teknik menghasilkan adunan keropok lekor yang seimbang dan berkualiti.
“Selain menambah kemahiran diri, ilmu yang diperoleh ini juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sampingan, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga kami,” katanya.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta diberikan peluang untuk mempraktikkan sendiri setiap fasa pembuatan keropok lekor.
Antara yang dipelajari termasuk proses penyediaan adunan, teknik membentuk atau menggentel keropok lekor secara seragam, kaedah merebus yang betul untuk mengekalkan kelembutannya serta teknik menggoreng bagi menghasilkan tekstur yang rangup di luar dan lembut di dalam.
Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada modul asas pembungkusan produk yang menarik serta strategi pemasaran digital berskala kecil bagi menarik minat pembeli.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata peserta melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan ilmu serta pengalaman yang diperoleh.
Mereka menyifatkan masa selama empat jam yang diperuntukkan untuk mengikuti kursus tersebut sebagai pelaburan yang berbaloi bagi membuka peluang dalam bidang keusahawanan makanan.
Pihak penganjur, iaitu CENTEXS dan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Bako, berharap agar momentum positif ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Mereka berazam untuk meneruskan program latihan seumpama ini secara berkala dengan melibatkan lebih ramai penyertaan daripada masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan kemahiran komuniti serta memperkukuh ekonomi setempat secara



